Thailand benar solat Aidilfitri di zon hijau

Thailand membenarkan solat sunat Aidilfitri dijalankan di masjid yang terletak dalam kawasan zon hijau. - Foto Bernama
Thailand membenarkan solat sunat Aidilfitri dijalankan di masjid yang terletak dalam kawasan zon hijau. - Foto Bernama
A
A
A

BANGKOK - Umat Islam di Thailand dibenarkan menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid dengan mengenakan garis panduan yang ketat untuk membendung koronavirus (Covid-19).

Sheikhul Islam Thailand, Aziz Phithakkhumphon berkata, memandangkan situasi pandemik Covid-19 di negara itu bertambah baik, solat sunat Aidilfitri dibenarkan dijalankan di masjid yang terletak dalam kawasan zon hijau iaitu yang tiada kes jangkitan.

Bagaimanapun, beliau berkata, jawatankuasa masjid perlu menyediakan kawasan terbuka tanpa pendingin udara seperti di pekarangan masjid, pekarangan bangunan atau sekolah atau stadium di kampung-kampung untuk menjalankan solat sunat hari raya itu.

Beliau berkata, jemaah diwajibkan memakai topeng muka, mengambil air sembahyang di rumah dan membawa sejadah masing-masing selain mengamalkan penjarakan sosial serta menjaga kebersihan.

"Solat sunat Aidilfitri berlangsung selama 20 minit sahaja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jika masjid tidak bersedia untuk menjalankan solat sunat Aidilfitri, beliau menasihatkan umat Islam supaya menunaikan solat sunat itu bersama ahli keluarga di rumah.

"Bagaimanapun, aktiviti seperti jamuan sempena Aidilfitri di masjid serta aktiviti secara berkumpulan adalah tidak dibenarkan. Orang ramai perlu mengelakkan daripada berkumpul serta menziarah kubur ahli keluarga," katanya.

Sehingga kini, Thailand merekodkan 3,028 kes Covid-19 dan 56 kematian. - Bernama

Artikel Berkaitan: