X

Kindly register in order to view this article
!

31 terlibat kes dadah diberkas polis

A
A

KLANG - Polis memberkas 31 individu termasuk dua wanita yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dan penjualan dadah di sekitar daerah Klang Utara sepanjang enam hari tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, tangkapan yang dilakukan itu juga membabitkan tiga warga asing iaitu dua Indonesia dan seorang Bangladesh.

"Semakan mendapati warga asing terbabit dikesan melakukan kesalahan imigresen.

"Selain itu, ujian air kencing yang dilakukan terhadap kesemua tangkapan berusia lingkungan 19 hingga 42 tahun itu mendapati 29 daripada mereka positif dadah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nurulhuda berkata, operasi yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara ini turut merampas dadah syabu (14.22 gram), heroin (2.50 gram) dan eramin 5 (20 biji).

Katanya, rampasan dadah terbabit dianggarkan bernilai RM2,340.50.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952," katanya.

Tegasnya, polis percaya dengan tertangkapnya kesemua suspek, pihaknya berjaya mengekang penularan kegiatan pengedaran dan penjualan dadah di kalangan belia.

Operasi akan terus dilaksanakan berterusan dalam usaha memerangi kegiatan haram itu sehingga ke akar umbi.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!