X

Kindly register in order to view this article
!

Dr Mahathir duri dalam daging

Dr Mahathir dikatakan bukan sahaja menjadi duri dalam daging dalam Bersatu, tetapi juga dalam konteks survival kepimpinan Muhyiddin. - Foto Bloomberg
A
A

KETIKA kita berdepan dengan ancaman pandemik koronavirus (Covid-19), suhu politik negara juga meningkat menjelang persidangan sehari Dewan Rakyat esok.

Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 4 Mei lalu mengemukakan notis usul undi tak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin kepada Speaker Dewan Rakyat.

Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof yang akan mengendalikan Dewan Rakyat esok memaklumkan menerima usul berkenaan untuk dimasukkan dalam aturan mesyuarat Dewan Rakyat yang bersidang esok.

Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut mengemukakan undi percaya kepada Dr Mahathir, tetapi telah ditolak oleh Speaker.

Bagaimanapun, Dewan Rakyat tidak bersidang seperti biasa selepas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada majlis perasmian mesyuarat pertama penggal ketiga, Parlimen ke-14, esok.

Alasan yang diberi ialah penularan wabak Covid-19 dalam negara yang masih belum reda.

Persidangan sehari apatah lagi tanpa perbahasan telah dikritik pelbagai pihak terutama pembangkang kerana bertentangan dengan amalan demokrasi yang sebenar.

Hakikatnya, ini merupakan kali pertama dalam sejarah lebih enam dasawarsa Dewan Rakyat di negara ini, sebuah majlis mesyuarat berjalan tanpa sidang penuh.

Pasukan pancaragam Rejimen Askar Melayu Diraja menjalani raptai Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 yang akan berlangsung esok.
Pasukan pancaragam Rejimen Askar Melayu Diraja menjalani raptai Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 yang akan berlangsung esok.

Persoalannya, sejauh manakah ancaman Covid-19 dapat dijadikan alasan untuk mengadakan persidangan sehari – itu pun hanya dengan titah Yang di-Pertuan Agong? Atau Covid-19 hanya sebagai alasan untuk melindungi kepentingan dan kedudukan pihak berkenaan?

Namun, bagi Dr Mahathir, keutamaan beliau adalah untuk menyingkirkan Muhyiddin daripada kerusinya. Adakah beliau belum lagi berpuas hati berada di kerusi berkenaan selepas dua kali mendudukinya? Apakah muslihat beliau sebenarnya?

Tidak puaskah beliau dengan tindakannya menjatuhkan dua Perdana Menteri sebelum ini, iaitu Tun Abdullah Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak?

Tindakan Dr Mahathir bukan sahaja mencetuskan pergolakan dalam partinya sendiri, tetapi juga ancaman terhadap kestabilan politik nasional.

Inilah pertama kali dalam sejarah usul tidak percaya dikemukakan terhadap Perdana Menteri. Ironinya ia diusulkan oleh pengerusi parti yang diwakili oleh Perdana Menteri.

Minoriti

Satu lagi ironi ialah pemimpin dan pengikut parti yang sama akan duduk di dua tempat berasingan – satu kumpulan di barisan kerajaan dan satu kumpulan minoriti yang menyokong Dr Mahathir berada di pihak pembangkang.

Adakah ini satu kebiasaan baharu dalam politik pada masa depan? Atau ia menggambarkan kemelut dalaman Bersatu ketika ini sehingga timbul dua puak berasingan dengan ideologi, kepentingan dan agenda masing-masing?

Semua ini berlaku di sebalik perebutan dan penguasaan kuasa dalam Bersatu antara Dr Mahathir dan Muhyiddin yang menyaksikan sebelum ini Setiausaha Agungnya diganti, dan dilaporkan Dr Mahathir dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak dijemput ke mesyuarat yang sepatutnya diadakan pada 11 Mei lalu.

Pengerusi Bersatu itu menyifatkan tindakan berkenaan sebagai tidak sah dari segi perlembagaan parti. Namun, mesyuarat berkenaan telah dibatalkan pada saat akhir.

Dr Mahathir kini bukan sahaja menjadi duri dalam daging dalam Bersatu, tetapi juga dalam konteks survival kepimpinan Muhyiddin walaupun difahamkan 116 daripada 222 Ahli Parlimen dijangka memberi sokongan kepada Muhyiddin kalaupun terdapat usul tidak percaya dikemukakan kemudian hari nanti.

Itulah ada pihak yang melihat tindakan Muhyiddin melantik ahli Parlimen sebagai pengerusi pelbagai lembaga, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai perhitungan strategik dan habuan atau umpan untuk memastikan mereka terus setia dan menyokong beliau.

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

Tetapi adakah langkah itu dapat menjamin bahawa pemimpin politik terbabit tidak akan menyokong Dr Mahathir apabila tiba waktunya?

Hakikatnya, sebahagian rakyat terutamanya kaum Cina dan India yang menyokong PH dalam pilihan raya umum lalu mahu PH kembali berkuasa.

Mereka tidak mahu kerajaan Perikatan Nasional yang diistilahkan sebagai kerajaan pintu belakang merampas mandat yang diberi oleh rakyat kepada kerajaan PH pada Mei 2018.

Yang pasti, dalam kalangan parti yang menganggotai PH, mereka keberatan menerima Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sekali lagi.

Bagi sesetengah pihak, Dr Mahathir bukan sahaja sudah hilang kewibawaan, tetapi juga sudah hilang sentuhan emasnya ketika beliau menuju usia 95 tahun. Ini ada kaitan dengan tindak-tanduknya sebelum PH tumbang pada Februari lalu.

Siapakah yang meletakkan jawatan sebagai pengerusi PH, tetapi kemudiannya mahu kembali? Siapakah yang bersetuju Muhyiddin jadi Perdana Menteri, kemudian tidak bersetuju?

Ya, siapakah yang berundur menjadi Perdana Menteri, tetapi kemudiannya mahu kembali semula ke kerusi itu?

Strategi

Itulah sebabnya Majlis Presiden PH melantik Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang sesuai dengan hakikat bahawa PH ialah blok pembangkang yang mempunyai jumlah ahli Parlimen paling banyak.

Anwar juga dilantik sebagai Pengerusi PH, jawatan yang dipegang Dr Mahathir sebelum Bersatu meninggalkan pakatan tersebut.

Meskipun kedua-dua mereka tidak lagi di atas landasan politik yang sama, tetapi sekitar seminggu lalu, Dr Mahathir dan Anwar mempunyai pendirian sama tidak mengiktiraf kerajaan pimpinan Muhyiddin.

Muhyiddin tidak akan mudah menyerah kalah baik dalam Bersatu mahupun sebagai Perdana Menteri. Beliau akan cuba mempertahankan jawatan itu dan kedudukan Perikatan Nasional, setidak-tidaknya sehingga menjelang PRU15 nanti.

Tindakannya hanya membenarkan titah Yang di-Pertuan Agong bagi persidangan Dewan Rakyat esok ialah strategi penuh perhitungan.

Kejatuhan Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah minggu ini tentu menghantar mesej jelas kepada Dr Mahathir bahawa Muhyiddin tidak harus dipandang enteng.

Muhyiddin tahu bila dan bagaimana untuk bertindak agar kedudukan Dr Mahathir dalam parti, di peringkat negeri dan akar umbi, serta dalam landskap politik nasional terhakis.

Ini adalah satu pukulan hebat kepada Dr Mahathir, namun mengetahui rekod dan sejarah Dr Mahathir, beliau tidak akan mudah menyerah kalah.

Dr Mahathir Mohamad
Dr Mahathir Mohamad

Bagai harimau luka, beliau dijangka terus menggugat kedudukan Muhyiddin dengan mempertikaikan kewibawaan dan legitimasi beliau dan kerajaan PN untuk memimpin negara selepas ini.

Berdasarkan reaksi rakyat terhadap langkah yang diambil oleh Muhyiddin, termasuk pakej rangsangan ekonomi, rakyat kelihatannya selesa dengan kepimpinan beliau terutamanya dalam kalangan pengundi dan masyarakat Melayu.

Di bawah kerajaan PN, mereka lebih yakin terhadap keupayaan kerajaan untuk melindungi dan mempertahankan hak Melayu dan bumiputera dari segi agama, budaya, Raja dan kepentingan lain bumiputera, di sebalik dapatan kajian Universiti Islam Antarabangsa Malaysia oleh Profesor Datuk Dr Syed Arabi Idid yang mendapati bahawa rakyat tetap memilih PH berbanding Barisan Nasional dan Pas.

Ketika rakyat berdepan wabak Covid-19, rakyat mahu kerajaan menangani dan mengutamakan isu kesihatan dan ekonomi berbanding dengan tindakan pembangkang terus bersandiwara dan bermain politik.

Kita tidak mahu disebabkan krisis politik dan ketidakstabilan politik berlaku gara-gara ketaksuban pembangkang yang cuba mendapatkan balik kuasa.

Untuk sementara waktu, biarlah politik diketepikan, dan agenda menangani Covid-19 dan usaha mengelakkan pengangguran dan kehilangan pendapatan dalam kalangan rakyat menjadi keutamaan.

Kita perlu keluar daripada kebiasaan lama dan membiasakan diri dengan kelaziman baharu termasuk dari segi mengamalkan budaya politik.

Politik tamak kuasa dan mementingkan diri harus diketepikan demi survival bangsa dan negara terutama selepas berakhirnya Covid-19.

* Dr Jeniri Amir ialah seorang ahli akademik dan penulis prolifik hal ehwal politik Malaysia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus