Momentum pelajar sifar jika proses belajar terhenti lama

Keputusan kerajaan untuk membuka kembali sesi persekolahan secara berperingkat akan dapat mengembalikan momentum pembelajaran pelajar. Gambar hiasan.
Keputusan kerajaan untuk membuka kembali sesi persekolahan secara berperingkat akan dapat mengembalikan momentum pembelajaran pelajar. Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan kerajaan untuk membuka kembali sesi persekolahan secara berperingkat akan dapat mengembalikan momentum pembelajaran pelajar terutama yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan yang setaraf.

Tokoh Guru Kebangsaan 2018, Hamzah Othman, 64, berkata, proses pembelajaran adalah satu aktiviti berterusan dan sekiranya ia terhenti dalam tempoh lama, momentum pembelajaran akan kembali ke angka sifar.

“Jadi bagi saya sangat wajar sesi persekolahan disambung semula tetapi ia perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Kalau sekolah dibuka, ibu bapa kena pastikan hanya anak-anak yang sihat dibenarkan untuk ke sekolah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Menurutnya, sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang efektif adalah dengan cara bersemuka antara guru dan pelajar berbanding pembelajaran secara dalam talian.

"Ini kerana melalui kaedah pembelajaran secara dalam talian, pelajar hanya mendengar apa yang diajar guru tetapi guru tidak dapat memastikan sejauh mana tahap penerimaan pelajar.

"Berdasarkan pengalaman menerusi platform dalam talian, proses pengajaran memang boleh dilakukan tetapi tahap penerimaan pembelajaran boleh dikatakan pada tahap sangat rendah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Hamzah membawa alat bantu mengajar ketika rakaman rancangan pendidikan untuk memberi kefahaman kepada pelajar yang menonton rancangan itu.
Hamzah membawa alat bantu mengajar ketika rakaman rancangan pendidikan untuk memberi kefahaman kepada pelajar yang menonton rancangan itu.

Katanya, beliau menggunakan kreativiti ketika sesi rakaman rancangan untuk siaran televisyen pendidikan dengan membawa alat bantu mengajar untuk membantu memberi kefahaman lebih jelas kepada pelajar.

“Memang perlu sesi pendidikan diteruskan waktu ini kerana bilangan kes koronavirus (Covid-19) sekarang juga terkawal. Yang penting SOP perlu dipatuhi seperti jarak meja setiap pelajar perlu 1 meter.

“Jika SOP ini dibuat dan bilangan pelajar di dalam kelas dikecilkan, mungkin ada lebihan pelajar seterusnya kelas akan bertambah. Bila keadaan ini berlaku mungkin sekolah perlukan guru tambahan.

"Mungkin kerajaan boleh tawarkan guru-guru yang sudah bersara untuk kembali bertugas jika khidmat mereka diperlukan,” katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas beliau sempena sambutan Hari Guru 2020 hari ini berkata, apabila sekolah dibuka nanti, keutamaan diberikan kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan untuk memastikan SOP mengenai penjarakan sosial dan penjagaan kebersihan diri yang ditetapkan Kementerian Pendidikan dipatuhi.

SOP itu meliputi prosedur mengenai ketibaan pelajar di sekolah, pergerakan ke bilik darjah, susunan meja dalam bilik darjah, pergerakan di kantin dan pelbagai aspek lain.