Tujuh peniaga ayam di Kedah terima notis tunjuk sebab

Rosol (tiga dari kanan) beramah mesra dengan seorang pekerja di Kompleks Pekan Rabu hari ini.
Rosol (tiga dari kanan) beramah mesra dengan seorang pekerja di Kompleks Pekan Rabu hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam mengeluarkan tujuh notis tunjuk sebab kepada peniaga ayam di negeri ini yang menaikkan harga makanan basah itu.

Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata, berdasarkan pemantauan harga ayam di negeri itu dinaikkan sehingga mencecah RM9.20 sekilogram.

Katanya, tindakan itu adalah tidak wajar kerana cuba mengambil kesempatan menjelang sambutan Aidilfitri.

"Lazimnya setiap kali musim hari raya permintaan ayam meningkat dan kerajaan akan menetapkan harga siling.

"Jadi sebelum kerajaan mengambil langkah berkenaan mereka mengambil keuntungan lebih awal," katanya ketika melakukan tinjauan di Kompleks Pekan Rabu di sini hari ini.

Rosol berharap peniaga mengamalkan etika yang betul dan tidak mengambil kesempatan ke atas rakyat yang sedang melalui kehidupan sukar.

"Pengguna juga boleh membuat aduan kepada KPDNHEP jika peniaga menaikkan harga yang tidak masuk akal supaya tindakan susulan dapat diambil dengan segera," katanya.

Sementara itu katanya, bekalan bahan mentah seperti daging, telur, sayur-sayuran mencukupi menjelang sambutan Aidilfitri dan pengguna tidak perlu bimbang kerana KPDNHEP sentiasa melakukan pemantauan.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga mahu pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kenaikan harga boleh membuat aduan lengkap kepada KPDNHEP bagi memudahkan tindakan diambil.