Gelandangan terharu dilayan seperti keluarga

Syazwan ( kiri) berbual dengan Tukimin (dua dari kiri) bersama anggota sukarelawan di Kem Wawasan Negara Gunung Pulai.
Syazwan ( kiri) berbual dengan Tukimin (dua dari kiri) bersama anggota sukarelawan di Kem Wawasan Negara Gunung Pulai.
A
A
A

KULAI - Gelandangan yang ditempatkan di Kem Wawasan Negara Gunung Pulai di sini berasa terharu dan gembira kerana nasib mereka terbela dan dapat menjaga kesihatan ketika wabak Covid-19 melanda dunia.

Beberapa gelandangan yang ditemui juga bersyukur mereka mendapat penjagaan daripada petugas yang sentiasa membantu.

Seorang gelandangan yang mahu dikenali sebagai Syazwan, 30, berkata, petugas dan sukarelawan yang terdiri daripada anggota Rela dan Jabatan Kebajikan Masyarakat ( JKM) cukup mesra dan baik dengan mereka.

"Rasa mahu tinggal di sini selamanya kerana dilayan seperti keluarga. Kami menyapa semua anggota RELA dan petugas JKM di sini dengan panggilan ayah abah, ibu dan abang.

"Mereka layan kami dengan baik seperti keluarga, selain sediakan makan dan minum, mereka juga kerap memberi nasihat, kata-kata semangat dan solat berjemaah bersama," katanya.

Pemuda yang berasal dari Kota Tinggi mengakui pengalaman ditempatkan sementara di Kem Wawasan Gunung Pulai cukup manis sepanjang Ramadan.

Katanya, pelajaran hanya setakat darjah empat membolehkan dia bekerja sebagai tukang sapu di bandar Johor Bahru dan tidak pernah melakukan persiapan hari raya kerana kebiasaannya akan keluar bekerja untuk mencari rezeki.

Sementara itu, Erni, 32 yang sedang hamil enam bulan juga teruja dapat berpuasa di Kem Wawasan Negara Gunung Pulai.

Artikel Berkaitan:

Wanita itu berkongsi kisah hidupnya bersama suami yang menjadikan stor sebuah kompleks membeli belah di Johor Bahru sebagai tempat tinggal.

Erni ketika ditempatkan di Kem Wawasan Negara.
Erni ketika ditempatkan di Kem Wawasan Negara.

Jelasnya, dia mempunyai tiga lagi anak berusia 7, 6 dan dua tahun namun terpaksa diserahkan kepada rakannya kerana kesempitan hidup.

"Saya dan suami mengambil upah berniaga barang-barang telefon dengan menerima gaji hari dan tidak mampu membayar sewa rumah," katanya ketika ditemui di Kem Wawasan Negara Gunung Pulai hari ini.

Menurutnya, sebelum ini mereka tidak dapat menikmati hidangan lazat tetapi kini dapat makan empat kali sehari.

"Memang bersyukur sangat. Datang sini sehelai sepinggang, tapi sekarang sudah ada baju baharu diberikan kepada saya," katanya.

Erni berterima kasih kepada kerajaan negeri yang menempatkannya di Kem Wawasan Negara dan menjaga kebajikan gelandangan malah turut diusahakan peluang pekerjaan baharu.

Dia berharap dapat mencari pekerjaan yang sesuai bersama suami dan memulakan kehidupan baharu kelak.

Kem Wawasan Negara Gunung Pulai menempatkan seramai 248 gelandangan di negeri ini sejak 4 April lalu bagi mengelakkan golongan berkenaan berkeliaran di kawasan awam dan berisiko dijangkiti COVID-19.

Sementara itu bagi anggota Rela, Tukimin Juraimi, 59, berkata ini kali pertama dia terlibat dengan kumpulan gelandangan dalam jumlah yang agak ramai ditempatkan di sebuah kem.

Katanya, sikap gelandangan yang mudah didekati membuatkan mereka cepat mesra dengan petugas dan sukarelawan.

"Terkejut juga bila mereka panggil saya ayah. Bila ditanya sebab panggil ayah mereka jawab, mereka hormat dan sayang kami anggota Rela yang jaga mereka di sini.

"Saya juga sentiasa berikan mereka nasihat supaya tidak putus asa. Jika mereka masih ada di sini sehingga Hari Raya kelak, saya bercadang hendak bawa kuih raya untuk mereka," katanya.