Covid-19: Singapura tangguh ibadah haji tahun ini

Foto: Bernama
Foto: Bernama
A
A
A

SINGAPURA - Singapura membuat keputusan untuk menangguhkan rancangan menunaikan ibadah haji 2020 bagi 900 jemaahnya ke tahun berikutnya berikutan pandemik Covid-19, menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) hari ini.

MUIS memaklumkan, keputusan itu dibuat dengan persetujuan Jawatankuasa Fatwa dan dengan rundingan bersama Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu.

Menurut MUIS, Jawatankuasa Fatwa telah mengadakan perbincangan mengenai perkara itu dan menyokong keputusan untuk menangguhkan ibadah haji untuk jemaah Singapura ke tahun berikutnya atas alasan kesihatan dan keselamatan jemaah.

“Jawatankuasa ini berpendapat bahawa dalam konteks semasa, tidak semua prasyarat untuk ibadah haji yang selamat dapat dipenuhi, justeru, mereka mengesyorkan supaya jemaah Singapura menangguhkan rancangan untuk menunaikan ibadah itu bagi mengelak sebarang kemungkinan yang memudaratkan,” menurut MUIS.

MUIS berharap agar keputusan awal ini dapat membantu meredakan kebimbangan jemaah dan keluarga mereka mengenai rancangan ibadah itu tahun ini.

MUIS juga berkeyakinan penuh terhadap kerajaan Arab Saudi dalam pengurusan pandemik itu dan langkah yang sesuai akan diambil sekiranya haji diteruskan.

Bagaimanapun, Singapura mempunyai pertimbangan sendiri untuk menjaga kesihatan dan kesejahteraan jemaah negara itu, menurut MUIS.

MUIS memberitahu lebih 80 peratus daripada jemaah Singapura yang dijadualkan mengerjakan ibadah haji tahun ini berumur 50 tahun ke atas.

Artikel Berkaitan:

MOH menasihatkan bahawa individu dalam kategori ini berhadapan dengan risiko komplikasi dan kematian lebih besar sekiranya dijangkiti virus Covid-19, menurut majlis itu.

MUIS menyatakan ibadah haji tahunan melibatkan perhimpunan kira-kira 2.5 juta orang dari seluruh dunia di kota Makkah.

“Ini adalah perhimpunan berskala besar melibatkan jemaah dari seluruh dunia. Seperti kes perjalanan ke luar negara, terdapat risiko buat jemaah Singapura yang ingin menunaikan ibadah haji dijangkiti virus itu,” menurut MUIS.

MUIS difahamkan bahawa setakat hari ini, kerajaan Arab Saudi belum membuat pengumuman rasmi mengenai status ibadah haji untuk tahun ini.

Pada Mac lepas, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi memaklumkan kepada agensi berkaitan pengurusan haji di seluruh dunia untuk berhenti mengambil tempahan baharu atau bayaran untuk mengerjakan ibadah haji pada 2020.

Saudi Airlines juga mengumumkan penangguhan semua penerbangan antarabangsa sehingga diberitahu, menurut MUIS.- Bernama