Putrajaya saman Kerajaan Negeri Kelantan

Tommy Thomas
Tommy Thomas
A
A
A

PUTRAJAYA - Buat pertama kali dalam sejarah, Kerajaan Persekutuan bertindak menyaman Kerajaan Negeri Kelantan bagi menuntut hak mendapatkan pengiktirafan hak tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor berdekatan Gua Musang.

Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, pihaknya telah memfailkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi Kota Bharu menerusi injunksi bagi menghalang pencerobohan dan pemusnahan tanah adat demi keuntungan komersial pihak swasta.

Jelas beliau, tindakan itu merupakan yang pertama berlaku sejak merdeka apabila Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan prosiding mahkamah bagi pihak Orang Asli terhadap sebuah kerajaan negeri.

"Sedar dengan keperitan dialami oleh Orang Asli, Perdana Menteri dan Kabinet telah memutuskan bahawa prosiding undang-undang harus dipertimbangkan untuk mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap Orang Asli.

"Defenden-defenden ialah Kerajaan Negeri Kelantan, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan serta lima entiti swasta. Benefisiari tindakan ini ialah Orang Asli. Litigasi ini tidak melibatkan sebarang tanggungan kos bagi Orang Asli," katanya menerusi satu kenyataan.

Menurut Tommy, Kerajaan Negeri Kelantan dan agensinya baru-baru ini telah mengeluarkan lesen pembalakan kepada syarikat swasta sehingga memasuki tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor.

"Dengan jentera berat, mereka telah menebang dan membawa keluar kayu balak dari kawasan hutan yang luas untuk dijadikan ladang durian dan getah.

"Tindakan mereka telah mengakibatkan Orang Asli Temiar dinafikan tanah adat dan sumber mereka, menyebabkan hakisan, pencemaran dan kemusnahan teruk kepada sistem ekologi dan landskap Pos Simpor.

Artikel Berkaitan:

“Dukacita apabila Kerajaan Negeri Kelantan tidak pun berunding dengan Orang Asli Temiar sebelum meluluskan lesen pembalakan atau menawarkan apa-apa pampasan," ujar beliau.

Mengulas lanjut, Tommy berkata, meskipun Kerajaan Negeri Kelantan mempunyai bidang kuasa ke atas perkara berkaitan tanah, perhutanan dan galian, namun mereka turut terikat dengan kewajipan utama yang tidak boleh diketepikan untuk melindungi serta memelihara kesejahteraan Orang Asli Temiar.

"Malangnya, hak asasi Orang Asli sebagai warganegara telah diabai dan dilanggari untuk sekian lamanya. Penebangan hutan berleluasa dan pembangunan komersial telah menerobos masuk ke dalam wilayah adat Orang Asli. Dalam kebanyakan keadaan, Orang Asli tidak dirundingi, malah langsung tidak dipertimbangkan," katanya.

Tambahnya, hak asasi Orang Asli di seluruh dunia telah diiktiraf, diisytiharkan dan dikuatkuasakan dalam kes-kes yang mendapat perhatian mahkamah seperti mahkamah tertinggi di Australia, Kanada dan India yang telah mengiktiraf sejumlah hak-hak orang asal mereka atau ‘first nations’.

"Sudah tiba masa Malaysia turut bersama negara-negara yang mengiktiraf dan melindungi hak-hak Orang Asli,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Tommy berkata, Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Hak Orang Asal 2007 (UNDRIP) menekankan prinsip persetujuan yang bebas, terdahulu dan termaklum oleh mereka yang akan terkesan dengan cadangan kerja-kerja komersial dan dengan itu memberikan sokongan undang-undang antarabangsa awam kepada Orang Asli di dunia.