Kerajaan negeri, JPS digesa atasi segera masalah banjir

Air melimpah sehingga menyebabkan kejadian banjir ekoran beberapa sungai di Kampung Bentong, Kluang yang didakwa cetek akibat pembangunan perumahan berdekatan kampung berkenaan. -Foto ihsan pembaca
Air melimpah sehingga menyebabkan kejadian banjir ekoran beberapa sungai di Kampung Bentong, Kluang yang didakwa cetek akibat pembangunan perumahan berdekatan kampung berkenaan. -Foto ihsan pembaca
A
A
A

KLUANG - Penduduk Kampung Bentong di sini menggesa kerajaan Johor dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku di kawasan kampung berkenaan.

Ketua Kampung Bentong, Zailan Kadir berkata, kejadian itu dikenal pasti berpunca daripada sistem saliran kawasan kampung tidak berfungsi dengan baik akibat pembangunan perumahan berdekatan.

Menurutnya, setiap kali hujan lebat, parit dan beberapa sungai iaitu Sungai Melantai, Mengkibol, Semberung dan Paloh di kampung berkenaan tidak dapat menampung air lalu menyebabkan kejadian banjir kilat.

"Lama sudah tidak banjir, kali terakhir banjir pada tahun 2011. Sekarang bila hujan lebat sahaja tidak sampai sejam air sudah naik, bulan ini sahaja dua kali kejadian banjir iaitu pada 10 dan 12 Mei lalu.

"Sebanyak 150 keluarga melibatkan kira-kira 300 mangsa terpaksa dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Sri Kluang dan ada juga keluarga pindah duduk dengan saudara terdekat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Zailan berkata, penduduk kampung kesal dengan pemaju pembangunan di kawasan perumahan di Taman Delima kerana didakwa tidak membina sistem perparitan atau saliran dengan betul.

Jelasnya, setiap kali hujan, air lumpur yang dibawa dari kawasan pembangunan itu mengalir ke parit dan sungai menyebabkan berlaku mendapan lumpur sehingga mengakibatkan parit atau sungai cetek.

"Pemaju pembangunan di kawasan itu tidak ada sistem penapisan enap cemar sebelum air dilepaskan ke kawasan parit atau sungai, apabila hujan air lumpur mengalir masuk, sungai cetek sebab berlaku mendap lumpur,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Zailan berharap pihak kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap masalah berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani punca kejadian.

Beliau turut meminta supaya parit dan sungai diselenggara agar air dapat dialirkan dengan lancar ketika hujan.

"Kami juga bimbang jika keadaan dan punca kejadian ini dibiarkan, ancaman banjir lebih buruk akan melanda kawasan kampung pada masa akan datang," katanya.