Masjid, surau di Wilayah Persekutuan dibenar solat jemaah mulai esok

Mohd Ajib Ismail
Mohd Ajib Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membenarkan masjid, surau Jumaat dan surau terpilih di zon hijau seluruh Wilayah Persekutuan dibuka semula bagi menunaikan solat Jumaat dan solat berjemaah termasuk solat sunat tarawih serta solat sunat Aidilfitri bermula esok.

Pengarahnya, Mohd Ajib Ismail berkata, ia berdasarkan pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan hari ini melalui perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurutnya, kebenaran diberikan melibatkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

"Kebenaran ini adalah tertakluk kepada bilangan jemaah tidak kurang daripada tiga orang dan tidak melebihi 30 orang pada satu-satu masa yang akan ditentukan oleh jawatankuasa masjid dan surau.

"Kebenaran ini juga tertakluk kepada garis panduan yang telah ditetapkan selaras dengan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Ajib berkata, ketetapan itu juga dibuat susulan pengumuman kerajaan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun depan.

Berikutan itu, beliau mengingatkan agar umat Islam mematuhi segala garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan bagi mengelakkan kebenaran bersyarat itu ditarik semula.

"Semoga umat Islam dapat meningkatkan amalan ibadah pada 10 malam terakhir Ramadan dan berdoa agar penularan wabak koronavirus (Covid-19) dalam negara segera berakhir," katanya.

Artikel Berkaitan: