Pahang benarkan semua premis niaga, sektor pembinaan beroperasi

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang hari ini mengumumkan semua premis perniagaan dan sektor pembinaan di Pahang, dibenarkan beroperasi berkuatkuasa serta-merta.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini termasuk gerai makan tepi jalan (berbumbung), pusat penjaja, penjaja tepi jalan (sementara) dan penjaja beredar di seluruh Pahang kecuali di kawasan lokaliti mempunyai kes positif baharu koronavirus (Covid-19).

Kawasan tersebut ialah Pekan Dong sehingga dimaklumkan kelak; Pasaraya TF Raub (sehingga 24 Mei 2020); Pasar Mini Bentong Segar (sehingga 20 Mei 2020); Flat Benus Bentong (sehingga 24 Mei 2020); Kilang Rubber Flex, Bentong (sehingga 24 Mei 2020); Pasar Mentakab (sehingga 24 Mei 2020).

"Maklumat berhubung kawasan atau lokaliti yang mempunyai kes positif baharu akan dikemaskini melalui laman sesawang pentadbiran Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Pahang.

"Ujian saringan Covid-19 tidak perlu dilaksanakan sebelum premis dibuka kecuali bagi pekerja warga asing terutamanya dalam sektor pembinaan sebagaimana syarat yang dikenakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu terdapat perniagaan yang dilarang di bawah Warta Kerajaan Persekutuan (P.U. (A) 136) dan perkara itu boleh dirujuk melalui laman sesawang SUK Pahang.

Wan Rosdy berkata, saringan suhu badan pekerja hendaklah dibuat setiap hari dan direkodkan di mana pekerja atau peniaga yang mempunyai suhu badan tidak melebihi 37.5 darjah selsius dibenarkan berada dalam premis.

Waktu operasi premis perniagaan dibenarkan bermula 7 pagi hingga 7 malam (kecuali bagi sektor yang diperincikan secara khusus) manakala bagi sektor pembinaan tidak perlu membuat permohonan kebenaran melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tetapi pengisytiharan atau akujanji perlu dilaksanakan melalui sistem CIMS CIDB.

Artikel Berkaitan: