Lapan individu direman kes liwat, dera budak di pusat kebajikan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GOMBAK – Seramai lapan individu termasuk tiga wanita direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes kanak-kanak yang dipercayai diliwat dan didera di sebuah rumah kebajikan di Taman Bidara, Selayang, di sini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 18 hingga 65 tahun itu ditahan di sekitar Gombak semalam.

Katanya, polis sudah mengambil keterangan 36 saksi termasuk sembilan kanak kanak berusia 13 hingga 18 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Polis juga akan menyiasat berhubung kes pencerobohan dan ugutan yang dilaporkan oleh pemilik rumah kebajikan itu.

“Empat suspek berusia 20 hingga 39 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan 506 akta yang sama. Kesemua mereka akan dituduh di Mahkamah Selayang esok,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Arifai sebelum ini memaklumkan, sembilan lagi kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun dihantar ke Child Interview Center (CIC).

“Mangsa juga telah dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut,” katanya.

Terdahulu, polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 36 tahun yang memaklumkan beliau dihubungi orang ramai berikutan satu videonya di rumah kebajikan itu tular di media sosial.

Artikel Berkaitan:

Video yang dirakam oleh wanita itu mengandungi hal-hal berkaitan penderaan dan penganiayaan kanak-kanak di sebuah rumah kebajikan itu.

Wanita itu mendakwa pernah tinggal di rumah kebajikan tersebut selama dua minggu dan kanak-kanak di rumah itu dipaksa membuat sampul duit raya serta dipukul dengan kayu jika enggan bekerja.

Wanita itu juga mendakwa beberapa kanak-kanak lelaki dikatakan pernah diliwat oleh anak saudara kepada pemilik rumah kebajikan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN Polis siasat kes dera, liwat kanak-kanak di pusat kebajikan