Kelantan merintis segala kemungkinan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

APA nasib Kelantan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M). Bagi peminat dan penyokong bola sepak Kelantan, nasib malang pasukan yang terkenal dengan gelaran The Red Warriors itu seakan-akan tiada titik noktah.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ada sahaja masalah dan isu yang timbul.

Kalau bukan masalah di peringkat pengurusan, timbul pula masalah di peringkat pemain mahupun pegawai pasukan.

Terbaharu, pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dipalit isu tunggakan gaji bekas pemain importnya, Cassio Francisco De Jesus berjumlah RM629,620.28.

KAFA tiada jalan lain lagi kecuali melunaskan tunggakan gaji awang import kelahiran Brazil itu. Jika gagal, KAFA bakal berdepan hukuman tegas daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Mahu atau tidak, KAFA perlu segera mencari dana tambahan untuk melangsaikan hutang tersebut. Jika ikutkan arahan FIFA, KAFA perlu menangani masalah itu dalam tempoh 30 hari bermula 23 April lalu.

Apabila kes dibawa dalam pengetahuan FIFA, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mahupun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah tiada kuasa untuk campur tangan. Semuanya kini terletak di tangan FIFA.

Di pihak KAFA pula, inisiatif ‘saat akhir’ melancarkan tabung semata-mata mahu menyelesaikan hutang Cassio mendapat pelbagai reaksi. Ada kelompok yang bersetuju, malahan ada juga yang mengecam.

Artikel Berkaitan:

Bagi yang bersetuju dengan tindakan KAFA itu, mungkin inilah masanya untuk menyelamatkan bola sepak Kelantan daripada berkubur.

Biarpun dibadai pandemik Covid-19, mereka tetap teguh berdiri di belakang bola sepak Kelantan.

Bagi yang skeptikal, mereka berpandangan ini bukan masanya KAFA meminta sumbangan derma. Malah, ada yang lantang melontarkan pendapat agar kuburkan saja bola sepak Kelantan daripada menyusahkan orang lain.

Apa sahaja yang dilakukan KAFA, seluruh peminat, pemerhati mahupun pengkritik bola sepak tanah air sedang memerhati rapat isu ini.

Bagi penyokong setia Kelantan, mereka hanya mampu berdoa agar semuanya kembali positif.