Padah jual 'ubat ajaib' rawat Covid-19

Miracle Mineral Solution (MMS) mengandungi kepekatan tinggi natrium klorit, bahan kimia yang biasa digunakan sebagai agen pemutihan tekstil dan nyah kuman. - Foto Agensi
Miracle Mineral Solution (MMS) mengandungi kepekatan tinggi natrium klorit, bahan kimia yang biasa digunakan sebagai agen pemutihan tekstil dan nyah kuman. - Foto Agensi
A
A
A

SYDNEY - Sebuah gereja di Australia didenda kerana mengiklankan 'ubat ajaib' yang didakwa boleh merawat koronavirus (Covid-19) yang mengandungi produk peluntur.

Pentadbiran Barang Terapeutik (TGA) memaklumkan MMS Australia yang juga kelompok gereja Genesis II berpusat di Amerika Syarikat dikenakan 12 denda berjumlah A$151,200 (RM423,772) kerana mempromosikan ubat beracun, Miracle Mineral Solution (MMS).

Ia didakwa mengandungi kepekatan tinggi natrium klorit, bahan kimia yang biasa digunakan sebagai agen pemutihan tekstil dan nyah kuman.

Sebuah laman web yang menghubungkan gereja Genesis II itu turut menyenaraikan testimoni tanpa bukti kononnya MMS boleh menyembuhkan pelbagai penyakit termasuk Alzheimer dan malaria.

"Tiada bukti klinikal atau saintifik menunjukkan MMS dapat merawat sebarang penyakit. Pengambilan MMS boleh menimbulkan risiko kesihatan yang serius dan mengakibatkan muntah-muntah, cirit-birit dan dehidrasi malah boleh menyebabkan mangsa dimasukkan ke hospital," tegas TGA.

MMS Australia masih mengiklankan produk tersebut di laman web mereka walaupun mendakwa memadamkan beberapa teks keterangan kononnya bagi mematuhi undang-undang dan peraturan pengiklanan.

Difahamkan, ia bukan pertama kali MMS Australia mendapat perhatian kerana menjual 'ubat ajaib' tersebut.

Pada 2014, empat rakyat tempatan dimasukkan ke hospital kerana meminum cecair beracun itu hingga memaksa TGA mengeluarkan amaran keselamatan awam. - Agensi

Artikel Berkaitan: