Tabiat membawang di pejabat

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

MUTAKHIR kini Malaysia dilanda begitu banyak isu sosial dan nasional. Hal ini membuatkan corak komunikasi dan tingkah laku sosial rakyat Malaysia juga berubah.

Istilah membawang yang dahulunya tiada sekarang timbul bagai cendawan.

Perubahan landskap komunikasi yang meliputi pelbagai platform media sosial seperti Facebook, Telegram, Pinterest, Twitter dan sebagainya menyebabkan tabiat membawang sukar dibendung hingga menular ke pejabat.

Secara ringkas, bawang adalah sejenis tumbuhan (bebawang) yang umbinya dimakan (Kamus Dewan Edisi Keempat).

Istilah membawang dikatakan membawa maksud bergosip, mengumpat atau satu perbuatan memperkatakan tentang orang lain.

Memetik artikel yang ditulis oleh Masril Mat Rosdi yang bertajuk Lima Jenis Makanan Yang Dikaitkan Dengan Sifat Manusia (1998) beliau mendefinisikan perkataan membawang sebagai bercakap dengan mengisahkan khabar-khabar atau hal-hal yang buruk atau umpatan tentang orang lain di belakang.

Walau apapun maksudnya, istilah membawang membawa kepada pengertian sikap yang kurang elok dalam berkomunikasi antara satu sama lain.

Tabiat membawang jika tidak dibendung boleh mendorong seseorang itu terjebak untuk menyebarkan berita palsu.

Artikel Berkaitan:

Para staf di pejabat akan terdedah dengan penularan maklumat tidak benar dan boleh menjejaskan penumpuan terhadap tugasan. Selain itu, tabiat membawang di pejabat boleh menyebabkan hubungan silaturahim renggang.

ALLAH SWT memperincikan tuntutan memelihara silaturahim bukan hanya dengan golongan tertentu saja, bahkan seluruh umat manusia amnya dan sesama mukmin khususnya.

Selain itu, tabiat membawang dalam kalangan staf boleh menyebabkan pembaziran masa kerja berlaku. Masa untuk bekerja secara berkualiti boleh terjejas jika sikap membawang dijadikan budaya.

Merujuk kepada Marcel Schwantes dalam “9 ways to Get Rid of Workplace Gossip Immediately” staf yang suka bergosip akan menyebabkan moral dan kepercayaan staf lain terjejas, produktiviti kerja menurun, keletihan, emosi terganggu serta berkemungkinan staf yang berkebolehan akan berhenti kerja kerana persekitaran toksik.

Dalam WHI bersiaran pada 7 Mac 2019 bertajuk “Hukum Membawang” telah menerangkan bahawa membawang sama seperti mengumpat atau ghibah iaitu hukumnya berdosa.

Islam mengharamkan dan melarang ghibah kerana ia boleh mengakibatkan putus ukhuwah, rosak kasih sayang, timbul permusuhan, tersebar aib dan lahir kehinaan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seseorang hamba yang membicarakan sesuatu yang belum jelas baginya (hakikat dan akibatnya), akan dilempar ke neraka jahanam sejauh antara timur dan barat.” ~ Riwayat Muslim.

Oleh itu, staf yang mempunyai tabiat membawang di pejabat perlulah menghentikan tingkahlaku tersebut kerana ia lebih banyak membawa keburukan dari kebaikan.

Jika tabiat membawang ini sukar dibendung, membawanglah kepada perkara yang membawa kebaikan.

Sebagai contoh rakyat Malaysia telah dikenakan Perintah kawalan pengerakan bermula 18 Mac 2020, kebanyakan staf adalah diperlukan menjalankan kerja dari rumah kecuali staf yang dikenal pasti menjalankan perkhidmatan penting (essential services), staf akan mempunyai banyak masa di rumah.

Oleh itu, masa yang ada elok digunakan untuk membawang perkara yang baik seperti berkongsi maklumat pencegahan berkaitan Covid-19 atau tidak menularkan berita palsu dengan merujuk kepada portal MKN atau SEBENARNYA.MY

Tukarlah tabiat membawang ini kepada aktiviti komunikasi yang lebih positif dan bermanfaat.

Peliharalah adab dan akhlak sebagai seorang staf yang baik mengikut tuntutan agama dan moga Allah SWT memelihara kita daripada tabiat yang membawa dosa.

Salmawti Othman ialah Timbalan Pendaftar, Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA