Bayi lelaki bertali pusat ditemukan di pondok rehat

Razmi Mohd Gunnos
Razmi Mohd Gunnos
A
A
A

KUALA NERUS - Seorang bayi lelaki masih bertali pusat ditemukan di pondok rehat di tepi jalan di Kampung Mengabang Telipot, Batu Rakit, di sini malam tadi.

Penemuan bayi cukup sifat itu susulan penahanan dua lelaki berusia 20 dan 17 tahun yang sebelumnya dilihat menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan apabila kedua-duanya berulang-alik di laluan sama kira-kira jam 11 malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos berkata, pihaknya terserempak dengan kedua-dua suspek ketika sedang melakukan rondaan bermotosikal di lokasi dan bertanyakan tujuan mereka berada di situ, namun kedua-duanya gagal memberikan jawapan munasabah sebelum siasatan lanjut dilakukan.

"Mereka mengaku cuba membuang bayi yang juga anak kepada suspek berusia 20 tahun dengan meninggalkan di atas sebuah pondok rehat berhampiran sebelum menunjukkan lokasi terbabit," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, suspek mengaku bayi berkenaan dilahirkan teman wanitanya di rumah pada petang kejadian tanpa pengetahuan sesiapa dan bertindak membuang bayi berkenaan dengan mengajak rakannya kerana risau kelahiran tersebut dihidu keluarga.

Razmi berkata, bayi seberat 2.89 kilogram yang masih terdapat kesan darah pada anggota tubuh badannya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

"Doktor menjangkakan dia sudah dilahirkan lebih kurang sembilan jam sebelum diselamatkan," katanya.

Berikutan itu, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dipercayai ibu kepada bayi berkenaan turut ditahan untuk siasatan dan kini masih menerima rawatan di HSNZ Kuala Terengganu.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama dan jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.