Sudah ada pengganti Pengerusi KADA

Che Abdullah (dua kiri) selepas mengadakan pertemuan bersama Pengurusan KADA di Lundang hari ini.
Che Abdullah (dua kiri) selepas mengadakan pertemuan bersama Pengurusan KADA di Lundang hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU- Kementerian Pertanian dan Industri Makanan masih berteka teki mengenai calon Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yang baharu bagi menggantikan Datuk Husam Musa.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, terdapat ramai calon yang layak untuk menduduki kerusi Pengerusi KADA.

“Senarai pendek itu rahsia. Ramai nama yang boleh diangkat bagaimanapun terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong kerana pelantikan perlu mendapat perkenan Seri Paduka Baginda terlebih dahulu,” katanya kepada media hari ini selepas mengadakan lawatan di Pertubuhan Peladang (PPK) Puteri Saadong di sini dan terdahulu turut mengadakan pertemuan bersama pengurusan KADA di Lundang.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau Dan Alam Sekitar negeri, Mohd Saripudin Tuan Ismail dan Pengurus Besar KADA, Nik Roslan Idris.

Sebelum ini Husam dari parti Amanah menerajui KADA menggantikan Datuk Md Alwi Che Ahmad. Difahamkan kontrak Husam tamat pada tahun hadapan namun disebabkan perubahan tampuk kepimpinan negara sekali lagi, beliau meninggalkan jawatan tersebut.

Dalam pada itu Che Abdullah juga tidak mahu mendedahkan calon bakal dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang baharu selepas pembentuk kerajaan baharu diterajui oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam perkembangan sama, setiap idea baik dan menarik yang dicadangkan oleh Husam sebelum ini untuk dilaksanakan oleh lembaga berkenaan akan dipertimbangkan.

“Mana-mana idea bagus serta memberi manfaat kepada rakyat dan munasabah untuk dilaksanakan, saya tidak nampak sebabnya kenapa ia tidak diteruskan. Idea yang bagus boleh memberikan manfaat kepada rakyat dan berdasarkan kemampuan untuk dilaksanakan jadi tidak ada sebab untuk tidak ikut.

Artikel Berkaitan:

“Kita tidak tengok pada orang tetapi kita tengok idea yang dilaksanakan. Kalau idea bagus, baiklah untuk dilaksanakan, yang penting rakyat dan petani mendapat manfaat daripada apa yang dibuat,” katanya.