Perak sudah bersedia jayakan World #QuranHour

Penyelaras Rumah Ngaji Perak, Noor Mazlina Noor Shah.
Penyelaras Rumah Ngaji Perak, Noor Mazlina Noor Shah.
A
A
A

IPOH - Perak sudah bersedia sepenuhnya untuk bersama menjayakan World #QuranHour yang bakal berlangsung pada 13 Mei ini.

Penyelaras Rumah Ngaji Perak, Noor Mazlina Noor Shah berkata, walaupun terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun persiapan dilakukan kali ini berada pada tahap tertinggi dan lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Mungkin inilah hikmah, di sebalik apa yang berlaku kita dapati, segala persiapan baik dari segi promosi, hebahan dan kempen berjalan dengan begitu lancar.

"Kita menerima kerjasama yang baik daripada kerajaan negeri, jabatan dan agensi yang menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan program ini," katanya.

World #QuranHour yang memasuki tahun ke-5 ini akan membawa misi surah ar-Rahman sebagai solusi mengembalikan keharmonian global, Reboot Global Harmony.

Selain Sinar Harian, program itu bersiaran selama satu jam, mulai 12 tengah hari menerusi empat stesen televisyen dan platform digital lain iaitu TV Alhijrah, RTM, Bernama TV, Astro Oasis dan Ideaktiv.

Noor Mazlina berkata, tahun ini menjadi pengalaman baru kepada World #QuranHour kerana ia dilaksanakan di rumah atau di ruang pejabat masing-masing, bukan secara berkumpul sepertimana lazimnya.

Begitupun pihaknya menerima maklum balas positif bukan sahaja daripada peserta Rumah Ngaji di setiap daerah, tetapi kakitangan kerajaan dan orang awam untuk mengaji bersama di premis masing-masing antaranya Jabatan Pendidikan, Jabatan Kesihatan, warga Hospital Taiping dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Artikel Berkaitan:

"Tahun lalu, Perak merekodkan hampir 18,000 peserta mengikuti World #QuranHour, jadi tahun ini kita sasarkan jumlah yang lebih tinggi.

"Sebab dulu, mungkin hanya golongan 'mak-mak' sahaja yang datang mengaji dengan Rumah Ngaji, tetapi kali ini mereka mengaji di rumah dan akan ajak sekali suami atau anak-anak ikut bersama," katanya.