X

Kindly register in order to view this article
!

Bersama jayakan World #QuranHour di NS

A
A

SEREMBAN - Bagi mengimarahkan bulan Ramadan, masyarakat di negeri ini diminta untuk bersama-sama menjayakan program World#QuranHour yang akan berlangsung pada 13 Mei ini.

World #QuranHour edisi kelima akan berlangsung serentak seluruh dunia pada 20 Ramadan, dengan membawa misi Surah Ar-Rahman (55:1-78) sebagai solusi mengembalikan keharmonian global “Reboot Global Harmony”.

Melalui program itu, semua pihak terlibat di seluruh dunia akan menghentikan aktiviti lain dan membaca al-Quran serta memahaminya melalui tadabbur selama sejam dari jam 12 tengah hari hingga 1 petang pada hari berkenaan.

Pengasas Rumah Ngaji Negeri Sembilan, Gharizah Hashim berkata, penganjuran pada kali ini agak berbeza tidak sama seperti tahun-tahun sebelumnya, apabila tiada upacara berhimpun membaca al-Quran bersama di hotspot yang ditetapkan.

Sebaliknya kata Gharizah, umat Islam diminta untuk terus membaca al-Quran dan menjayakan World#QuranHour ini dengan membaca di tempat masing-masing, di rumah atau di ruang pejabat.

"Walaupun kita tidak dapat berkumpul dan bersama-sama membaca al-Quran seperti yang dilakukan pada setiap tahun, tetapi itu tidak melemahkan semangat kita untuk terus menghidupkan kembali bacaan al-Quran.

"Umat Islam perlu terus bangkit, walaupun hanya di rumah dengan melaksanakan ibadat-ibadat dan membaca ayat-ayat suci al-Quran terutamanya pada bulan Ramadan ini,"katanya kepada Sinar Harian.

Sebahagian penduduk Pangsapuri Lobak yang menerima sumbangan dan turut menyatakan sokongan World#QuranHour
Sebahagian penduduk Pangsapuri Lobak yang menerima sumbangan dan turut menyatakan sokongan World#QuranHour

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program penyampaian bantuan kelengkapan bayi kepada penduduk Islam di Pangsapuri Lobak sempena Ramadan, bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Lobak di sini semalam.

Hadir sama Pengerusi KRT Lobak, Mohd Rabek Mohamad Sharif dan Setiausaha Surau, Muhammad Khairul Anuar Amran.

Sementara itu, menurut Mohd Rabek pihaknya bersyukur dan berbesar hati kerana banyak menerima bantuan daripada Rumah Ngaji Negeri Sembilan, termasuk Masjid Jamek Seremban dan NGO dalam menjayakan usaha membantu masyarakat Islam di pangsapuri ini.

Katanya, masyarakat Islam di sini hanya minoriti, apabila daripada lebih 500 penduduk, hanya 65 keluarga adalah masyarakat Islam bagaimanapun, segala keperluan dan kelengkapan untuk melakukan ibadah termasuk surau boleh didapati di pangsapuri ini.

"Dengan usaha semua pihak termasuk Rumah Ngaji banyak membantu kami membuka semula surau dan kelas mengaji di pangsapuri ini, namun disebabkan sekarang tempoh PKP, segala aktiviti terpaksa dihentikan sementara dan akan kembali aktif selepas semuanya selesai,"katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus