Gelandangan Perak temu duga kerja minggu depan

Halizah ketika meninjau perkembangan penghuni PPG di Arena Badminton Perak hari ini.
Halizah ketika meninjau perkembangan penghuni PPG di Arena Badminton Perak hari ini.
A
A
A

IPOH - Penghuni Pusat Penempatan Gelandangan (PPG) di Arena Badminton Perak di sini akan mula menjalani sesi temu duga kerja, minggu hadapan.

Pegawai Daerah Kinta, Halizah Sipun berkata, setakat ini terdapat dua syarikat telah menyatakan persetujuan untuk mengatur temu duga bagi membuka peluang pekerjaan kepada kumpulan berkenaan.

"Dua syarikat ini masing-masing berkaitan perniagaan cuci kenderaan dan kedai makan yang mana sesi temu duga dijalankan secara berasingan pada Selasa dan Rabu depan.

"Bagi kedua-dua sesi ini, kita telah pun kenal pasti 14 penghuni mempunyai kelayakan bersesuaian untuk hadir dalam temu duga terbabit.

"Syarikat ini juga bersedia menyediakan kemudahan tempat tinggal bagi penghuni yang layak dan diterima bekerja," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke PPG berkenaan hari ini.

Beliau berkata, penempatan pekerjaan yang dijalankan itu merupakan satu daripada pelan tindakan susulan kerajaan negeri untuk menjamin kelangsungan hidup gelandangan selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berakhir.

Katanya, proses berkenaan dibantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kesihatan dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang berperanan menyediakan data maklumat diri mengikut tahap kesihatan, kelayakan dan kemahiran dimiliki.

"Mereka yang masih boleh bekerja kita aturkan sesi temu duga kerja yang sepadan dan untuk itu kita sedang mencari lagi syarikat-syarikat yang berminat untuk mengambil pekerja.

Artikel Berkaitan:

"Bagi penghuni lain seperti yang sudah mencecah usia 60 tahun ke atas dan masih boleh menguruskan diri sendiri akan kita tempatkan di rumah-rumah kebajikan," katanya.

Setakat ini, terdapat 67 penghuni termasuk empat wanita ditempatkan di PPG di Arena Badminton Perak sejak ia dibuka, 18 April lalu.

Pembukaan PPG merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kerana bimbang wujudnya kluster baharu wabak koronavirus (Covid-19) dalam kalangan gelandangan.