‘Pergi Covid-19! Jangan Datang Lagi’

Poster buku cerita bergambar Pergi Covid-19! Jangan Datang Lagi! yang kini dibuka untuk pra-tempahan.
Poster buku cerita bergambar Pergi Covid-19! Jangan Datang Lagi! yang kini dibuka untuk pra-tempahan.
A
A
A

SHAH ALAM - Ibu bapa yang tercari-cari bahan bacaan sesuai untuk anak-anak mereka ketika situasi pandemik koronavirus (Covid-19) sekarang boleh menempah buku cerita bergambar, Pergi Covid-19! Jangan Datang Lagi! terbitan Kids Prima, Grup Buku Karangkraf.

Ketua Pegawai Operasi Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, buku berkonsep ‘edutainment’ adiwira itu akan membantu kanak-kanak belajar mengenai bahaya Covid-19 dan langkah-langkah mencegah wabak itu.

Katanya, buku itu diinspirasikan daripada figura yang memberi sumbangan penting kepada negara ketika menghadapi krisis Covid-19 iaitu Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

“Buku ini diterbitkan sebagai momento kepada kanak-kanak dan pada masa sama banyak ilmu dapat dipelajari daripada buku ini.

“Apa yang istimewa, buku ini kita hasilkan dalam masa sehari dan ia mengandungi sebanyak 32 muka surat berilustrasi, lukisannya menarik dan berwarna-warni, bahasa mudah difahami serta padat dengan informasi,” katanya kepada Sinar Harian.

Firdaus berkata, penghasilan buku itu juga sebagai satu penghormatan kepada frontliners yang bekerja keras bagi mempertahankan negara ketika ini.

Menurutnya, buku berkenaan dijual pada harga RM16 sebuah di mana pra-tempahannya dibuka mulai semalam.

Katanya, dengan setiap pembelian buku cerita itu juga, RM1 daripadanya akan disalurkan ke Tabung Bantuan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Kita akan mulakan cetakan buku ini pada Selasa depan. Jadi, orang ramai di luar sana jangan lepaskan peluang untuk buat pra-tempahan mulai sekarang,” katanya.

Sementara itu, penulis dan ilustrator buku itu, Mohd Khairul Azman Ismail berkata, buku cerita bergambar itu yang disasarkan kepada kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun diselitkan dengan pelbagai info berkaitan Covid-19 secara terperinci.

“Wabak Covid-19 adalah isu global, jadi semua tahap umur perlu memahaminya.

“Menerusi buku ini, ilustrasi yang dihasilkan dapat membantu kanak-kanak untuk memahami kandungan teks. Laras bahasanya juga direndahkan untuk mudahkan kanak-kanak memahami tentang wabak ini,” katanya.

Ilustrasi watak Afiq dan Super Dr H yang dihasilkan Mohd Khairul Azman.
Ilustrasi watak Afiq dan Super Dr H yang dihasilkan Mohd Khairul Azman.

Katanya, watak utama buku cerita itu ialah seorang kanak-kanak berusia 9 tahun bernama Afiq yang juga anak kepada seorang jururawat.

Menurut Mohd Khairul Azman, Afiq juga mempunyai patung mainan Superman yang digelar Super Dr H yang diinspirasikan daripada peranan Dr Noor Hisham.

“Untuk ketahui jalan cerita buku ini, ibu bapa perlu rebut peluang untuk tempah buku ini segera kerana didikan mengenai Covid-19 ini juga dapat diterapkan kepada anak-anak,” katanya.

Orang ramai yang mahu membuat pra-tempahan boleh pergi ke pautan https://www.karangkrafmall.com/pergi-covid-19-jangan-datang-lagi. Tempahan juga boleh dibuat menerusi aplikasi WhatsApp di pautan http://www.wasap.my/+60192297227.