Pengajaran dari Venezuela

Keganasan yang berlaku pada Selasa oleh penentang Nicolás Maduro. - Foto AP
Keganasan yang berlaku pada Selasa oleh penentang Nicolás Maduro. - Foto AP
A
A
A

KETIKA pandemik global membunuh puluhan ribu manusia dan memusnahkan ekonomi di seluruh dunia sehingga menyebabkan berjuta-juta pengangguran, beberapa pengganas dan tentera upahan yang didakwa disokong oleh pemerintah tertentu cuba menyerang negara bebas dan berdaulat Venezuela pada 3 Mei lalu.

Diatur dan dilatih di negara jiran Colombia, mereka mendarat di pantai Macuto berhampiran ibu kota Venezuela, Caracas. Pencerobohan itu digagalkan oleh pasukan tentera dan polis Venezuela dengan bantuan penduduk tempatan.

Beberapa penyerang terbunuh manakala dua orang telah ditangkap. Kedua-duanya warga Amerika Syarikat (AS). Mereka mengaku dalam televisyen Venezuela bahawa sasaran mereka bukan untuk menggulingkan pemerintah yang dibentuk secara sah sahaja tetapi juga membunuh Presiden Nicholas Maduro.

Walaupun pencerobohan itu telah digagalkan, penyerang yang ditangkap itu menjelaskan bahawa operasi menggulingkan pemerintahan Maduro masih berlangsung.

Pada April 2002, rampasan kuasa terhadap presiden ketika itu, mendiang Hugo Chavez, berjaya seketika tetapi mobilisasi besar-besaran oleh rakyat telah mengembalikan Chavez ke kerusi kekuasaannya. Itulah ungkapan ‘kekuatan rakyat’ yang paling dramatik.

Rampasan kuasa terhadap pemimpin yang bertekad memelihara kemerdekaan bangsa dan mempertahankan kedaulatan rakyat mereka yang diatur dan direkayasa oleh tangan ghaib di AS dengan bantuan sekutu mereka di rantau itu adalah kisah menyedihkan politik Amerika Latin.

Yang paling terkini adalah penggulingan Presiden Bolivia, Evo Morales pada November 2019. Tidak perlu diulang lagi betapa tokoh revolusioner Cuba, Fidel Castro adalah sasaran banyak percubaan seperti itu selama beliau berkuasa namun semuanya gagal.

Cuba, seperti juga Venezuela, menjadi mangsa sekatan ekonomi oleh AS. Akibatnya, ekonomi dan rakyatnya sangat menderita.

Artikel Berkaitan:

Namun sungguh luar biasa walaupun terdapat sekatan, Cuba dan Venezuela berjaya melindungi rakyat mereka daripada wabak Covid-19.

Mereka telah melakukan sejuta kali lebih baik daripada AS, negara yang telah menghukum mereka dengan sekatan tetapi kini mencatat jumlah kematian dan jangkitan Covid-19 yang paling tinggi di dunia.

Selain bantuan dari Cuba, Venezuela juga mendapat manfaat daripada penyediaan peralatan dan kerjasama kakitangan perubatan dari China dan Rusia.

Kejayaan kerjasama ini adalah salah satu faktor yang mendorong Presiden Maduro mencadangkan pada Sidang Kemuncak Maya Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) yang dipengerusikan oleh Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev, supaya NAM membantu mengatur pengagihan peralatan dan ubat-ubatan di negara anggotanya.

NAM, menurut cadangannya bahkan dapat menubuhkan dana kemanusiaan antarabangsa untuk tujuan tersebut, hasil idea yang pertama kali dicetuskan oleh mendiang Chavez beberapa tahun lalu.

Dana kemanusiaan yang tujuan utamanya adalah untuk membiayai bukan sahaja pembelian ubat-ubatan dan peralatan terutama untuk anggota NAM yang lebih miskin tetapi juga menaja doktor dan jururawat sekiranya diperlukan.

Apabila NAM terlibat secara langsung dalam program konkrit seperti ini dalam keadaan gawat, ia akan menyerlahkan peranannya. Usul Venezuela harus disokong sehingga menjadi kenyataan. Inilah manifestasi kerjasama sebenar yang akan menyatukan rakyat era pascakoronavirus dan membentuk dasar untuk peradaban global yang adil dan berperikemanusiaan.

* Dr Chandra Muzaffar ialah Presiden Gerakan Keadilan Sedunia (JUST)