X

Kindly register in order to view this article
!

Fahami erti sebenar Nuzul al-Quran

Umat Islam diajak menjadikan amalan membaca al-Quran sebagai zikir harian.
A
A

RAMAI yang mengambil kesempatan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membaca al-Quran sama ada secara bersendirian atau berkelompok.

Malah ada yang membahagikan bacaan al-Quran dalam grup WhatsApp mengikut juzuk dan dibaca secara berkumpulan dan perlu dihabiskan bahagian masing-masing dalam tempoh tertentu.

Setelah tamat akan disambung dengan juzuk berikutnya sehingga ada yang berjaya membaca secara berkelompok berulang-ulang kali.

Amalan sebegini dilihat berjaya mewujudkan suasana membaca al-Quran dalam kalangan masyarakat Islam sehingga ramai yang teruja untuk menghabiskan bacaan masing-masing.

Namun ada pula yang mengatakan amalan tersebut tidak dilakukan oleh Nabi SAW dan para salafussoleh sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

Rujukan kepada laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyebutkan bahawa amalan seperti ini adalah amalan yang baik dan dituntut kerana Nabi SAW tidak menetapkan kaedah dan cara tertentu untuk membaca al-Quran.

Apatah lagi jika banyak dibaca di bulan Ramadan yang sinonim dengan masa penurunan al-Quran.

Bagaimanapun adalah molek jika seseorang dapat mengkhatamkan sendiri bacaan al-Quran sepenuhnya sehingga boleh diadakan majlis khatam al-Quran yang mempunyai kelebihan tersendiri.

Dalam sebuah hadis disebutkan, “Tidaklah suatu kaum berkumpul di rumah-rumah ALLAH sambil membaca Kitabullah dan saling mempelajari sesama mereka kecuali akan diturunkan kepada mereka ketenangan dan rahmat serta malaikat akan menaunginya dan mereka akan diingat di sisi ALLAH” (Hadis Riwayat Muslim).

Ini kerana al-Quran sarat dengan pelbagai pedoman dan pengajaran untuk memandu manusia melalui kehidupan dunia dan akhirat.

Lebih daripada itu al-Quran ialah kalam ALLAH yang mengandungi mukjizat diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Malaikat Jibrail AS, ditulis dalam mashaf, dipindahkan secara mutawatir dan menjadi ibadat dengan membacanya.

Malah al-Quran yang mengandungi 323,671 huruf, 77,437 kalimah, 6,236 ayat, 114 surah yang terkandung dalam 30 juzuk, 60 hizib dan 240 maqra’ adalah mukjizat Nabi SAW yang kekal hingga ke hari ini.

Sungguhpun terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama tentang bilangan ayat al-Quran ia tidaklah ketara kerana yang lebih penting ialah bagaimana umat Islam berinteraksi dengan al-Quran.

Malah jika al-Quran diakui sebagai kitab suci yang sempurna dan ajarannya bersifat menyeluruh oleh sarjana Barat maka seyogianya umat Islam benar-benar mengaplikasikan pedoman al-Quran dalam setiap gerak-geri dan tindakan.

Bukan sahaja daripada aspek yang bersifat khusus seperti perintah untuk solat fardu atau berpuasa di bulan Ramadan serta ibadat fardu yang lain akan tetapi meluas kepada suruhan umum seperti berbuat baik kepada sesama manusia, berlaku ihsan kepada binatang dan menjaga alam sekitar demi untuk kelestarian hidup manusia.

Seorang ahli Sejarah Inggeris, Edward Gibbon (1737-1794) menyatakan dalam bukunya 'The Decline And Fall Of The Roman Empire' tentang ketakjuban terhadap al-Quran dengan katanya, al-Quran diakui sebagai kod asas bukan hanya teologi, tetapi perundangan sivil dan jenayah dan undang-undang yang mengatur tindakan dan harta benda manusia dijaga oleh peraturan Tuhan yang sempurna dan tidak berubah.

Pada sudut pandang yang lain al-Quran telah memberikan jawapan kepada punca penularan pandemik Covid-19 yang menghantui seluruh dunia masa kini.

Malah segala bencana dan malapetaka yang terjadi adalah disebabkan perbuatan manusia sendiri yang dikatakan berpunca daripada selera pelik segelintir manusia yang memakan kelawar dan haiwan eksotik yang lain.

Begitu juga fenomena pemanasan global yang menyebabkan bencana alam seperti ribut taufan dan kemarau berlaku akibat kerakusan manusia menodai alam sekitar dan pelepasan gas rumah hijau yang tidak terkawal menyebabkan suhu bumi meningkat.

ALLAH SWT berfirman maksudnya, “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana ALLAH hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)” (Surah ar-Rum, ayat 41).

Sehubungan dengan itu, bersempena dengan memperingati hari Nuzul al-Quran yang jatuhnya pada tanggal 17 Ramadan setiap tahun umat Islam diajak menjadikan amalan membaca al-Quran sebagai zikir harian.

Berusahalah untuk terus dapat membaca al-Quran setiap hari dan tidak hanya terhad di musim PKP sahaja.

Walaupun ramai yang tidak memahami ayat yang dibaca tetapi insya-ALLAH beroleh pahala yang dijanjikan. Lebih molek lagi jika dibaca bersama terjemahan ayat dan merujuk kepada kitab tafsir muktabar sehingga mampu diamalkan setiap pelajaran al-Quran dalam realiti kehidupan sebenar.

Jika tidak boleh jadi umat Islam akan menjauh daripada petunjuk Ilahi selain lebih buruk beralih menjadikan logik akal sebagai panduan kehidupan. Ingatlah juga akan ancaman Nabi SAW yang menyatakan ramai orang membaca al-Quran, tetapi al-Quran melaknatnya mungkin kerana disebabkan gagal mengamalkan pendidikan al-Quran.

Oleh itu hendaklah dipelihara adab-adab membaca al-Quran dan bukan semata-mata ingin cepat menghabiskan bacaannya sahaja.

Orang yang selalu membaca al-Quran juga diharapkan beroleh kedudukan yang mulia di sisi ALLAH selain pertolongan di hari kiamat. Ini seperti mana sabda Nabi SAW bermaksud, “Bacalah al-Quran, kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada sesiapa yang membacanya" (Hadis Riwayat Muslim).

* Dr Mohd Ali Muhamad Don ialah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!