X

Kindly register in order to view this article
!

Pemandu mabuk rempuh polis direman semula

A
A

KUALA LUMPUR - Individu disyaki memandu dalam keadaan mabuk dan merempuh Koperal Safwan Muhammad Ismail sehingga maut berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) direman semula selama tiga hari bermula hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Datuk Fadzil Ahmad berkata, perintah reman sehingga Isnin depan terhadap lelaki berusia 44 tahun itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Kajang.

“Kes ini sekarang disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana dengan cuai menyebabkan kematian dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan sebarang perbuatan yang dilakukan menyebabkan merebaknya penyakit yang membahayakan nyawa,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Suspek sebelum ini direman selama empat hari bermula 4 Mei untuk siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan dan tangkapan semula terhadapnya dibuat selepas tempoh reman itu berakhir semalam.

Ditanya mengenai keputusan ujian air kencing suspek, Fadzil berkata, pihaknya masih menunggu laporan sampel air kencing dari hospital.

Dalam kejadian pada kira-kira 2 pagi Ahad lepas, Koperal Safwan, 31, yang bertugas dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) Op Covid-19 disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala dan badan selepas dihempap kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dipandu seorang lelaki disyaki di bawah pengaruh alkohol. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus