Sarawak benarkan sektor ekonomi kembali beroperasi 12 Mei

DOUGLAS UGGAH EMBAS
DOUGLAS UGGAH EMBAS
A
A
A

KUCHING - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memutuskan untuk membenarkan semua sektor ekonomi dibuka dan dibenarkan beroperasi bermula 12 Mei di seluruh Sarawak, kata Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata, garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) pengoperasian telah disediakan dan sedang dimaklumkan kepada semua pihak terlibat yang melibatkan aktiviti-aktivi dibenarkan dan dilarang.

“Mana-mana pihak yang berhasrat untuk membuka semula aktiviti-aktiviti ekonomi, mereka hanya perlu memaklumkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian masing-masing.

“JPBN yakin arahan baharu untuk membuka aktiviti sektor ekonomi akan memberi kelegaan kepada rakyat jelata yang selama ini telah terjejas punca pendapatan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac lalu,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini hari ini.

Bagaimanapun, Uggah berkata, dengan keputusan terbaharu itu tidak bermakna kerajaan Sarawak mengabaikan aspek kesihatan, namun langkah itu diambil kerana mengambil kira aspek ekonomi demi kepentingan semua pihak.

“Pihak penguatkuasaan seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Rela akan menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan terhadap garis panduan yang dikeluarkan esok dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang gagal mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” katanya.

Berhubung isu yang tular di media sosial mengatakan bahawa semua sekatan jalan raya di Sarawak ditutup serta-merta bermula semalam serta perjalanan rentas daerah di Sarawak tidak memerlukan permit perjalanan daripada polis, Uggah berkata, perkara itu adalah tidak benar.

“Untuk situasi di Sarawak, larangan pergerakan antara daerah adalah masih kekal. Pihak polis masih mendirikan sekatan jalan raya di semua sempadan daerah dan orang ramai masih perlu memohon kebenaran polis untuk pergerakan antara daerah,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: