X

Kindly register in order to view this article
!

'Sidang Dewan Rakyat sehari ibarat melepaskan batuk di tangga'

Mohamad Sabu
A
A

BUKIT MERTAJAM- Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu menyifatkan tindakan kerajaan yang mengadakan persidangan sehari Dewan Rakyat pada 18 Mei ini hanya seperti melepaskan batuk di tangga.

Menurutnya, persidangan sehari itu sekadar memenuhi kehendak perlembagaan sahaja bagi memastikan Parlimen tidak akan terbubar sedangkan banyak isu penting yang harus dibincangkan terutamanya berkaitan keadaan semasa wabak Covid-19 yang melanda negara.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, persidangan penuh sepatutnya tidak menjadi masalah untuk diadakan berikutan Parlimen telah menetapkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) pada sidang kali ini termasuk menjarakkan kedudukan tempat semua ahli parlimen.

"Saya telah diberi taklimat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengenai kedudukan tempat ahli parlimen yang dijarakkan sehingga ke galeri awam selain beberapa SOP yang perlu dipatuhi.

"Kalau sudah boleh dijarakkan dan boleh duduk dalam keadaan sebegitu rupa kenapa tak boleh buat sidang penuh atau sidang yang lebih panjang khasnya untuk membincangkan isu Covid-19, tetapi hanya dihadkan dalam sehari dan dilihat dalam keadaan tergesa-gesa," katanya dalam temu bual Facebook Live Sembang-Sembang Bersama Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong malam tadi.

Mohamad berkata, sebelum ini Pakatan Harapan (PH), Parti Warisan Sabah (Warisan) termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa kerajaan agar mengadakan sidang penuh Parlimen sekurang-kurangnya dua minggu.

Beliau berkata, sekiranya persidangan dijalankan mengikut semua SOP yang ditetapkan tiada alasan mengapa kerajaan tidak boleh memanjangkan lagi tempoh sidang Dewan Rakyat kali ini.

"Kita lihat negara lain, ia tidak menjadi masalah kepada mereka untuk adakan. Sekiranya mengikut cara yang betul bahkan pilihan raya pun boleh dilakukan seperti yang berlaku di Korea sekarang.

"Alasan yang diberikan tidak berapa kuat nak diterima untuk adakan sidang selama sehari sedangkan banyak usul bacaan kali pertama akan dilakukan termasuk usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri," katanya.

Pada 4 Mac lalu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof berkata, persidangan Dewan Rakyat akan bermula 18 Mei ini dan bersidang selama sehari ekoran PKP yang dilaksanakan sekarang.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!