Pertanian pintar padi bawa hasil ke tahap SSL - Mohamad Sabu

Mohamad menunjukkan anak padi yang sedia untuk ditanam pada Program Smart SBB Mini Sekinchan Mada-Bernas di Simpang Empat, hari ini. - Foto Bernama
Mohamad menunjukkan anak padi yang sedia untuk ditanam pada Program Smart SBB Mini Sekinchan Mada-Bernas di Simpang Empat, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KANGAR - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yakin penggunaan teknologi smart farming atau pertanian pintar mampu meningkatkan pengeluaran padi negara ke tahap sara diri (SSL), kata menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata, keyakinan itu bersandarkan kejayaan pesawah di Sekinchan, Selangor yang menggunakan kaedah tersebut dan berjaya menghasilkan padi sekitar tujuh hingga 11 tan per hektar, berbanding lima tan per hektar dengan kaedah biasa.

"Jika kita berjaya meningkatkan hasil padi kepada tujuh tan per hektar di kawasan pertanian Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), saya yakin kita tidak perlu mengambil masa yang lama sehingga berpuluh tahun untuk mencapai tahap SSL.

"Dan pada masa yang sama juga satu masa nanti, kita mampu eksport beras ke luar negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program SMART SBB Mini Sekinchan MADA BERNAS dan melawat tapak SMART SBB di Kampung Lat 1000, Simpang Empat di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Lokman Hakim Ali; Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Industri Tani KPKM, Datuk Azman Mohmood; Pengurus Besar MADA, Kamaruddin Dahuli dan Exco Pertanian Perlis, Razali Saad.

Mohamad Sabu berkata, sudah tiba masanya pesawah di negara ini bekerja sepenuh masa sebagai pesawah dan menggunakan teknologi pertanian pintar.

Katanya kaedah itu menjimatkan masa dan tenaga di samping dapat meningkatkan hasil tuaian padi, selain telah digunakan di negara lain seperti China.

Beliau berkata, Program SMART SBB Mini Sekinchan MADA BERNAS akan dilaksanakan di kawasan seluas 187 hektar di dua lokasi bawah seliaan MADA, iaitu Kampung Lat 1000, Simpang Empat, Perlis dan Kampung Tok Mengkula, Ayer Hitam, Kedah. - Bernama