'Kami bukan tidak bersyukur...'

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEORANG petugas kesihatan mengirim sepucuk surat luahan hati para petugas barisan hadapan mengenai isu elaun Covid-19. Surat itu dihantar kepada Sinar Harian semalam.

Assalamualaikum, ketika luahan ini ditulis saya masih lagi di barisan hadapan bersama rakan-rakan yang terdiri daripada pelbagai jawatan pegawai perubatan, jururawat, pembantu perawatan, juru-X-ray, farmasi, pegawai makmal, pemandu ambulans, inspektor kesihatan, pembantu kesihatan dan pelbagai lagi jawatan dalam Kementerian Kesihatan Malaysia (minta maaf jika tak tersebut).

Luahan ini adalah akibat daripada rasa tidak puas hati dengan kerenah birokrasi melampau pihak pentadbiran tertinggi KKM yang mempermainkan perasaan kami dalam pemberian elaun Covid-19.

Umum mengetahui bahawa kerajaan telah mengumumkan elaun khas untuk barisan frontliners KKM yang terlibat dalam menangani masalah Covid-19 di negara ini.

Tetapi malangnya umum tidak mengetahui pelbagai syarat dan prosedur yang telah diletakkan dalam urusan elaun ini.

Hampir masuk dua bulan cuti kakitangan KKM dibekukan dan pertambahan tugas-tugas bukan hakiki yang terpaksa dilakukan untuk membendung masalah Covid-19 menular dan hampir dua bulan juga tuntutan elaun ini masih lagi berlegar-legar antara pejabat kewangan dan pejabat jabatan.

Antaranya, petugas kesihatan telah memindahkan sebahagian operasi perawatan khas (orthopedik dan jabatan pesakit luar) ke kawasan-kawasan lain supaya dapat dipisahkan antara pesakit yang mendapatkan rawatan biasa dan pesakit yang mendapatkan rawatan Covid-19 bagi kategori Pesakit Dalam Pemantauan (PUS) dan Pesakit Di Bawah Siasatan (PUI).

Antara syarat yang ditetapkan, petugas yang berkhidmat di bahagian ada risiko Covid-19 selama lebih 15 hari layak tuntut RM600, yang bertugas kurang 15 hari tidak layak tuntutan penuh (berkemungkinan hanya RM200 layak). Contohnya, di Jabatan Kecemasan terdapat pembahagian ruang untuk merawat: zon Covid-19 (Sari, Bilik Decon), zon PHC dan zon bukan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Jadual syif akan menggilirkan kakitangan untuk mengelakkan staf keletihan atau terkena jangkitan, jadi agak mustahil untuk seorang kakitangan dapat lebih daripada 15 hari bertugas di zon Covid-19 sahaja.

Sedangkan kakitangan yang bertugas di bilik gerakan dan mengumpul data boleh dapat tuntutan elaun penuh.

Di klinik kesihatan juga, staf terpaksa mengambil pesakit yang disyaki atau pesakit positif Covid-19, tetapi tuntutan hanya layak jika pesakit benar-benar positif.

Di bahagian farmasi yang membekalkan ubatan juga mereka tidak layak menuntut elaun atas alasan mereka tidak terlibat secara langsung dengan pesakit, tetapi bebanan kerja bertambah dengan bahagian farmasi terpaksa melakukan perubahan dalam cara pemberian ubat.

Di bahagian X-ray juga tidak semua dapat tuntut elaun penuh. Di makmal pula, sampel yang terpaksa dilakukan ujian terlalu banyak tetapi ada kemungkinan hanya sampel yang positif layak untuk tuntut elaun.

Jika sehari tiada sampel yang positif, maka tak dapatlah tuntut elaun tersebut. Banyak lagi syarat-syarat yang tidak munasabah untuk menidakkan kakitangan mendapat tuntutan elaun Covid-19 yang dijanjikan.

Pada pandangan saya, kakitangan yang mengadu masalah-masalah dalam tuntutan elaun ini bukanlah tidak reti bersyukur.

Mereka cuma kecewa kerana ada pihak yang cuba menidakkan tuntutan mereka.

Jika kerajaan tidak menjanjikan apa-apa elaun sekalipun mereka pasti melakukan tugas masing-masing seiring dengan slogan KKM iaitu Kami Sedia Membantu.