Sultan Selangor, Tengku Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Ismail Kamus

Sultan Sharafuddin Idris Shah
Sultan Sharafuddin Idris Shah
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga pendakwah terkenal, Allahyarham Datuk Ismail Kamus yang meninggal dunia tengah malam tadi.

Baginda menyifatkan Allahyarham yang lahir di Hulu Selangor semasa hayatnya merupakan pendakwah yang amat komited dengan cara tersendiri dan banyak menyumbang kepada pembangunan dakwah Islam di negeri ini dan juga negara.

"Atas sumbangannya, Almarhum ayahanda beta (Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah) mengurniakan Allahyarham dengan darjah kebesaran Datuk Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (DSSA) pada tahun 1996.

"Pada tahun 2011, beta juga memberi perkenan untuk Allahyarham dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah 1433 Negeri Selangor atas jasa dan pencapaian beliau," titah baginda dalam perutusan takziah yang dimuat naik di laman sosial rasmi 'Selangor Royal Official' malam ini.

Sultan Sharafuddin turut mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat ALLAH SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

Allahyarham yang meninggal dunia di kediamannya di Ampang, dekat sini, kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4 Lembah Keramat pada jam 11 pagi.

Allahyarham yang berusia 72 tahun sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung dan strok ringan, serta jangkitan kuman di paru-paru.

Allahyarham yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia selama sepenggal dari 1999 hingga 2004 pernah memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Pas Pusat. - Bernama

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz Ismail Kamus meninggal dunia

Pendakwah terkenal Ismail Kamus selamat dikebumikan