Agong, Raja Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Rohana Jalil

Menerusi hantaran di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada dunia seni tanah air. Foto Facebook Istana Negara.
Menerusi hantaran di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada dunia seni tanah air. Foto Facebook Istana Negara.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga penggiat seni tanah air, Rohana Jalil yang meninggal dunia semalam.

Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menerusi hantaran di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada dunia seni tanah air.

"Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarhamah dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarhamah sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini," menurut hantaran itu.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh.

Rohana Jalil atau nama sebenarnya Dara Abdul Jalil, 68, telah dirawat di hospital sejak April lepas disebabkan kebocoran usus dan terpaksa diletakkan di wad pemantauan.

Allahyarham yang berasal dari Kota Tinggi, Johor mula menceburkan diri dalam bidang seni selepas memenangi pertandingan Bintang RTM (Radio Televisyen Malaysia) pada 1980.

Sepanjang empat dekad berkecimpung dalam bidang muzik, Allahyarham telah merakamkan lebih 20 album termasuk album kompilasi dan projek khas.

Antara lagu popular beliau ialah Rayuanku, Resahku dan Naluri Cinta, duet bersama To'ki. - Bernama