Peniaga e-Kitchen mula selesa berniaga secara dalam talian

Amirudin beramah mesra bersama peniaga yang beroperasi di e-Kitchen Batu Caves ketika turun padang hari ini.
Amirudin beramah mesra bersama peniaga yang beroperasi di e-Kitchen Batu Caves ketika turun padang hari ini.
A
A
A

BATU CAVES - Kebanyakan peniaga yang menyertai program e-Kitchen di Selangor dilihat mula selesa dengan kaedah perniagaan secara dalam talian yang digunakan sekarang ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, menerusi kaedah perniagaan itu, peniaga dapat menganggarkan kuantiti juadah yang disediakan pada setiap hari berdasarkan tempahan awal yang diterima daripada pelanggan.

Selain itu, beliau berkata, melalui sistem e-Kitchen itu juga, ia lebih terjamin dan orang ramai juga tidak perlu bersesak untuk mendapatkan juadah masing-masing.

"Bagi meneruskan usaha pelaksanaan program itu, ia bergantung kepada kesediaan peniaga masing-masing.

"Tapi saya percaya sebahagian peniaga yang telah mengikuti program itu akan terus kekal menggunakan kaedah perniagaan secara dalam talian," katanya ketika turun padang memantau operasi e-Kitchen Batu Caves di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan Selangor memperkenalkan dua platform e-dagang khas iaitu Grab Selangor dan Platform Selangor (PLATS) sempena Ramadan ini.

Bagi tujuan itu, kerajaan negeri telah mengenal pasti 77 pusat pengumpulan terdiri daripada 10 dewan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan 67 restoran yang akan menyediakan juadah Ramadan di seluruh Selangor.

Mengulas mengenai program itu, Amirudin berkata, buat masa ini terdapat tujuh operator yang beroperasi di e-Kitchen Batu Caves tersebut dan ia mampu memuatkan sehingga 10 operator secara keseluruhan.

Artikel Berkaitan:

"Apabila kerajaan umumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), ada operator di sini yang menarik diri kerana mereka mempunyai premis untuk jalankan operasi masing-masing.

"Platform ini juga dapat membuka ruang buat sebahagian peniaga yang tidak mempunyai premis untuk berniaga pada bulan Ramadan ini," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, buat masa ini, terdapat 1,500 peniaga telah menyertai program Shopee e-Bazar hasil inisiatif kerajaan Selangor bagi membantu usahawan di negeri ini.

"Semua peniaga terdiri dari mereka yang sebelum ini beroperasi di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), SACC Mall, Uptown Shah Alam dan beberapa lagi," katanya.