MAIK agih zakat sebanyak RM9.3 juta

Wakil MAIK menyerahkan sumbangan zakat kepada keluarga yang layak dan memerlukan bantuan di Pasir Puteh.
Wakil MAIK menyerahkan sumbangan zakat kepada keluarga yang layak dan memerlukan bantuan di Pasir Puteh.
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), meneruskan pengagihan zakat membantu asnaf yang memerlukan sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi Program Prihatin MAIK untuk fasa ketiga.

Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, pada fasa ketiga ini sebanyak RM9.3 juta diperuntukkan yang menjadikan jumlah keseluruhan pengagihan untuk program tersebut adalah RM21.9 juta.

Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz
Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz

“Walaupun melihat kepada perkembangan semasa kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, MAIK akan teruskan juga menyalurkan agihan yang telah dirancang.

“MAIK mengambil kira kesusahan rakyat memandangkan keperluan dan kepentingan agihan tersebut dapat menampung golongan sasar meneruskan kelangsungan hidup sepanjang bulan Ramadan ini.

"Ucapan terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada semua pembayar zakat yang menunaikan ibadah zakat menerusi MAIK. Dengan adanya kutipan zakat tidak putus-putus ini, Insha-ALLAH agihan kepada asnaf sentiasa berterusan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau memberitahu untuk fasa terkini, MAIK membuat penyelarasan dengan membahagikan bantuan kepada dua kategori iaitu pertama Agihan Zakat MAIK dan kedua pula, Bantuan MAIK Musibah Koronavirus (Covid-19).

Katanya, untuk kategori pertama ia melibatkan perbelanjaan sebanyak RM3.9 juta iaitu Agihan Zakat MAIK yang diawalkan membabitkan tiga program dikhaskan.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga memaklumkan bagi kategori kedua iaitu menerusi Bantuan MAIK Covid-19, sebanyak RM5.4 juta diperuntukkan yang mana ia akan disalurkan kepada enam kumpulan utama.

Wakil MAIK menyerahkan sumbangan zakat kepada keluarga yang layak dan memerlukan bantuan di Pasir Puteh.
Wakil MAIK menyerahkan sumbangan zakat kepada keluarga yang layak dan memerlukan bantuan di Pasir Puteh.

“Sebanyak RM1.8 juta dikhaskan untuk bantuan kepada asnaf yang terjejas akibat Covid-19 yang akan diagihkan melalui 603 masjid bandar, masjid jajahan dan masjid mukim di seluruh Kelantan,” katanya.

Beliau berkata, seterusnya menjunjung titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V pula, sebanyak RM2 juta akan diagihkan kepada 10,000 orang asnaf menerusi Bantuan Khas (Muasaadah Ramadhan).

“Wang yang digunakan untuk program Ihya Ramadan sebelum ini Tuanku zakatkan kepada golongan memerlukan supaya masing-masing dapat merasainya dan dapat meringankan kesukaran rakyat,” katanya.

Seterusnya, MAIK juga turut mengagihkan sumbangan khas sebanyak RM700,000 kepada 1,965 Pegawai Masjid Mukim (imam tua, imam muda, bilal dan siak) dan RM782,000 diberikan kepada 4,100 ketua isi rumah orang asli di negeri ini.

Beliau juga berkata, turut tidak dilupakan ialah Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 420 peserta Kelas Fardu Ain Mingguan Saudara Baru MAIK melibatkan sejumlah RM105,000.

“Bagi kumpulan terakhir, MAIK juga menyalurkan sumbangan sebanyak RM54,000 kepada 107 penjaga anak yatim Darul Aitam MAIK,” katanya.