Pemandu lori ditahan miliki pistol tiruan, peluru

Pistol tanpa jenama dan peluru penabur ditemui dalam beg pinggang yang dipakai suspek. Foto: ihsan PDRM, gambar kecil: Zulkepli
Pistol tanpa jenama dan peluru penabur ditemui dalam beg pinggang yang dipakai suspek. Foto: ihsan PDRM, gambar kecil: Zulkepli
A
A
A

PENGKALAN HULU - Polis menahan seorang pemandu lori yang didapati memiliki sepucuk pistol tiruan bersama empat peluru jenis penabur dalam satu pemeriksaan di sebuah hentian bas di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintenden Zulkepli Ibrahim berkata, lelaki berusia 22 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian D8 (Operasi Khas) dan D9 (Siasatan Khas) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak sekitar jam 10 malam.

Menurutnya, suspek yang sedang menunggang motosikal ditahan selepas didapati dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan pada sebuah beg hitam yang dipakai dipinggangnya mendapati ia mengandungi sepucuk pistol tanpa jenama yang dipercayai telah diubah suai.

"Anggota turut menemui sarung tangan hitam serta peluru tersebut. Suspek juga gagal mengemukakan pengenalan diri menyebabkan dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu untuk siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Zulkepli berkata, suspek tidak mengakui memiliki pistol itu namun, siasatan masih diteruskan bagi mengetahui motif sebenar memiliki senjata itu.

"Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai lima rekod lampau dalam kesalahan dadah dan jenayah.

"Suspek yang juga orang tempatan didapati baru tujuh bulan tamat menjalani hukuman penjara di Pulau Pinang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, suspek direman tujuh hari untuk disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 25(1)(n) Akta Pendaftaran Negara 1959.