Gagal seludup 6.93 tan minyak masak ke Thailand

Kedua-dua lori ini menggunakan modus operandi yang sama iaitu menyembunyikan barangan kawalan itu di bawah timbunan makanan.
Kedua-dua lori ini menggunakan modus operandi yang sama iaitu menyembunyikan barangan kawalan itu di bawah timbunan makanan.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Cubaan dua buah lori menyeludup 6.93 tan minyak masak paket dan 969 kilogram (kg) tepung gandum yang disorok dalam timbunan makanan berjaya dipatahkan anggota penguatkuasa di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang di sini semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Azanizam Affendi Juri berkata, kejayaan rampasan itu hasil maklumat risikan yang dijalankan oleh pihaknya bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor.

"Sejurus mengetahui pergerakan lori-lori itu kami telah mendapatkan bantuan dari Pasukan Gerak Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu untuk menahan kenderaan tersebut ketika melalui pemeriksaan di ICQS Rantau Panjang sebelum masuk ke negara jiran.

"Sebaik sahaja lori-lori itu berjaya ditahan dan pemeriksaan lanjut telah dijalankan seterusnya membawa kepada penemuan barangan kawalan," katanya.

Minyak masak paket bersubsidi yang disembunyikan dalam timbunan makanan.
Minyak masak paket bersubsidi yang disembunyikan dalam timbunan makanan.

Katanya, pemeriksaan ke atas lori pertama membawa kepada penemuan 3.536 tan minyak masak paket bersubsidi yang disembunyikan dalam timbunan makanan.

"Kita kemudian melakukan pemeriksaan ke atas lori kedua dan telah menemui 3.4 tan minyak masak paket serta 969 kg tepung gandum.

"Kedua-dua lori ini menggunakan modus operandi yang sama iaitu menyembunyikan barangan kawalan itu di bawah timbunan makanan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Azanizam berkata, keseluruhan nilai rampasan termasuk lori dianggarkan berjumlah RM118,648.18.

Katanya, selain itu kedua- dua pemilik kenderaan tersebut ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

"KPDNHEP Kelantan akan terus melipat gandakan kerjasama antara agensi keselamatan di sempadan dalam usaha membanteras aktiviti penyelewengan barangan subsidi ke negara jiran.

"Kita amat berharap orang ramai akan terus memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat dalam usaha membendung perkara ini pada masa akan datang," katanya.

Kotak yang digunakan untuk mengaburi pihak berkuasa
Kotak yang digunakan untuk mengaburi pihak berkuasa