Peniaga di Melaka patuhi SOP PKPB

Kebanyakan peniaga mematahui SOP walaupun keadaan persekitaran masih lengang berbanding tahun lalu.
Kebanyakan peniaga mematahui SOP walaupun keadaan persekitaran masih lengang berbanding tahun lalu.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kelonggaran yang diberikan kerajaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanaknan membolehkan orang awam membeli barang keperluan, menyelesaikan urusan tertangguh dan membuat persiapan raya.

Walaupun berada di luar, namun kebanyakan orang ramai dilihat menitikberatkan langkah-langkah pencegahan penularan pendamik Koronavirus (Covid-19) dan peniaga juga tidak terkecuali mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti menghadkan jumlah pelanggan dengan membenarkan hanya empat atau lima orang masuk ke dalam premis dalam satu masa.

Tinjauan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, mendapati kedai menjual pakaian telah dibuka setelah kerajaan negeri memutuskan hampir semua sub-sektor ekonomi dibenarkan beroperasi sekali gus memberi peluang untuk umat Islam membuat persiapan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Pekerja kedai pakaian, Azizah Salleh, 26, berkata, suasana kali ini berbeza dari tahun sebelumnya kerana biasanya orang ramai akan berpusu-pusu berkunjung ke kedainya untuk membeli pakaian sejak awal Ramadan tetapi tahun ini tiada lagi pelanggan bertindak sedemikian kerana kesan krisis koronavirus (Covid-19) melanda negara.

"Kalau tahun lepas, ramai pelanggan datang ke kedai sehingga kami tidak 'menang tangan' melayan pelanggan dan ada juga pelanggan yang datang dari luar Melaka.

"Namun kali ini kita menunggu pelanggan dalam masa sama tidak mengabaikan langkah-langkah pencegahan dengan meletakkan arahan hanya pelanggan memakai topeng muka dibenarkan masuk dan pelanggan akur," katanya ketika Sinar Harian.

Tambahnya, selain mengambil suhu badan setiap pelanggan, mereka juga perlu menulis nama dan nombor telefon pelanggan dalam buku disediakan.

Bagi pekerja kedai makanan sunnah, Nur Anisah Nik Mahmood,20, pula berkata, pengambilan data pelanggan penting sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini dan boleh diberikan kepada KKM sebagai rujukan pihak berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, memandangkan sekarang pertengahan Ramadan, dia yakin kedai yang turut menjual kurma itu akan menjadi tumpuan dan menerima kunjungan lebih ramai pelanggan hingga penghujung Ramadan ini.

Katanya, tindakan ketat itu diambil sebagai inisiatif memastikan penularan wabak itu tidak berlaku meskipun SOP merekodkan kehadiran pelanggan yang ditetapkan oleh MKN hanya tertakluk kepada restoran dan kedai makan.

"Jadi kami seramai enam pekerja di sini, mengambil langkah-langkah pencegahan seperti yang dilakukan di premis perniagaan lain dan pekerja juga menjalani saringan kesihatan terlebih dahulu setiap kali sebelum memulakan tugas bagi memastikan kami benar-benar sihat.

"Kita akan selalu menasihatkan pelanggan supaya mematuhi penjarakkan sosial dan ini untuk memastikan keselamatan pelanggan dan pekerja lebih terjamin memandangkan kes Covid-19 belum lagi diumumkan di tahap rendah," katanya.

Sementara itu, kakitangan kerajaan, Mohd Zakri Rihan,38, berkata, kelonggaran yang diberikan kerajaan dimanfaatkan untuk membeli barang kelengkapan raya seperti songkok.

Menurutnya, sepanjang PKP dia agak sukar untuk membeli kelengkapan yang sesuai dengan dirinya disebabkan tidak banyak pilihan dan sedikit sahaja kedai yang dibuka.

"Lega bila kerajaan umumkan PKPB namun tidak bermakna kita boleh bergembira dan bersikap sambil lewa ketika mencari barang keperluan kerana harus mementingkan penjagaan kendiri," katanya.