X

Kindly register in order to view this article
!

5,225 individu dikuarantin di Johor

Gambar hiasan
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 5,225 individu dikuarantin di 57 pusat kuarantin bagi mencegah penularan Covid-19 di negeri ini sehingga semalam membabitkan penuntut dan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, jumlah itu melibatkan 22 penuntut dari luar negara dan 5,203 pekerja warganegara ini yang pulang dari republik itu.

Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 5,214 individu diletakkan di bawah kategori individu dalam pemerhatian (PUS) manakala 11 sebagai individu dalam siasatan (PUI).

"Berdasarkan statistik Pusat Kawalan Bencana Negeri (PKOB), hampir separuh daripada pusat kuarantin digunakan daripada jumlah keseluruhan sebanyak 110 stesen kuarantin di negeri ini melibatkan beberapa daerah seperti Johor Bahru, Kota Tinggi, Muar, Kluang, Pontian, Segamat dan Batu Pahat.

"Saya yakin jumlah pusat kuarantin yang diwartakan setakat ini iaitu sebanyak 110 mencukupi untuk menampung individu yang perlu dikuarantin terutama mereka yang pulang dari Singapura," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, warganegara yang bekerja di Singapura dan mahu pulang ke negara ini dinasihatkan supaya melakukan persiapan sepenuhnya terutama dokumen perjalanan.

"Mereka yang ingin pulang ke negara perlu bersabar kerana terpaksa menunggu giliran diberikan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura dan perkara ini mengambil sedikit masa.

Dalam pada itu, Vidyananthan berkata, sehingga jam 11.59 malam tadi, tiada kes baharu direkodkan menjadikan jumlah kes positif kekal 667 kes.

"Turut menggembirakan tiada kes kematian direkodkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Negeri Johor adalah kekal 18 orang. Jumlah kes kumulatif sembuh meningkat kepada 441 kes," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!