Armada Terengganu tidak sokong kerjasama dengan PH

Syaiful Irfan Anang
Syaiful Irfan Anang
A
A
A

KEMAMAN - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu tidak menyokong pendirian Armada Pusat yang membuat keputusan untuk kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Ketuanya, Syaiful Irfan Anang berkata, Armada Terengganu menyokong penuh kepimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga merupakan Perdana Menteri.

Menurut Syaiful Irfan, pihaknya menolak pendirian sayap pusat itu kerana ramai Ketua Armada Bahagian tidak diberitahu mengenai hasrat Armada Pusat menentukan pendirian mereka mengenai isu penting berkenaan.

"Pendirian Armada Terengganu ialah tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh Armada Pusat kerana ianya bukan diputuskan dalam Mesyuarat Khas Exco Armada Pusat.

"Sebaliknya mesyuarat khas yang dinyatakan dalam kenyataan media Armada Bersatu itu sebenarnya merupakan Mesyuarat Penyelarasan Agihan Bantuan Armada Bersempena Ramadan 2020 dan Perjumpaan Bersama Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Syaiful Irfan berkata, beliau merupakan salah seorang ketua Armada negeri yang hadir di perjumpaan tersebut namun membuat undian ‘berkecuali’.

Ini kerana katanya, keputusan yang besar sebegini perlu dibincangkan dengan lebih mendalam sebelum sesuatu keputusan dapat dicapai bersama ahli-ahli Armada di setiap peringkat.

"Pendirian Armada Terengganu adalah jelas bahawa kita tetap bersama presiden parti dan dengan perkembangan politik semasa kita tidak akan bermusuh dengan mana-mana parti yang menyokong Perikatan Nasional," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Armada Bersatu menyokong pendirian Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak bekerjasama dengan UMNO.

Keputusan berkenaan diputuskan selepas mengadakan satu mesyuarat khas dihadiri oleh Exco, ketua Armada negeri dan Dr Mahathir bagi membincangkan isu masa depan dan kelangsungan parti.

Armada dalam kenyataannya memaklumkan, pendirian itu berdasarkan undian yang dibuat ketika perjumpaan dan dipersetujui oleh lebih 2/3 ahli mesyuarat dan selebihnya berkecuali tanpa ada yang menolak.