Tadabbur al-Quran normal baharu rakyat Malaysia

Pengasas WUIF, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub memegang poster World #QuranHour. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Pengasas WUIF, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub memegang poster World #QuranHour. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

PROGRAM World #QuranHour yang bermula sejak tahun 2016 ternyata mendapat sambutan menggalakkan masyarakat pelbagai agama dan kaum di seluruh negara sehingga ia menjadi acara yang ditunggu-tunggu pada tarikh 20 Ramadan setiap tahun. Pada tahun ini, tarikh 20 Ramadan jatuh pada Rabu, 13 Mei 2020.

Buktinya, sehingga tahun 2019, World #QuranHour yang penganjurannya masuk tahun kelima telah diadakan di lebih 3,000 lokasi di Malaysia dan 300 lokasi di 76 negara. Dari segi media sosial, ia telah menjangkau 1.46 bilion capaian dalam tempoh empat tahun sahaja.

Gerakan berinteraksi dengan al-Quran menerusi konsep Baca, Faham dan Amal itu mempunyai visi MengQURANkan Bangsa dan MengIKHLASkan Ummah dalam usaha mengubah pemikiran masyarakat agar menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.

Namun, seluruh dunia termasuk Malaysia kini berdepan dengan ancaman kemanusiaan dan kesihatan yang terbesar pada abad ini: Covid-19.

Dalam wawancara khas Sinar Harian bersama Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub semalam, beliau berkongsi visi dan misi World #QuranHour pada tahun ini dalam usaha menghayati al-Quran sebagai amalan normal baharu susulan pandemik Covid-19.

SINAR HARIAN: Apakah kelainan program World #QuranHour pada tahun ini?

HUSSAMUDDIN: Insya-ALLAH pada 13 Mei ini, kita akan meneruskan program World #Quran Hour yang diadakan setiap tahun pada 10 terakhir Ramadan. Namun kali ini berbeza sedikit.

Kebiasaan setiap tahun sebelum ini kita ada satu program utama di Masjid Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak, tetapi tahun ini kita akan buat dalam studio tanpa penonton.

Artikel Berkaitan:

Kita harap dapat menggerakkan semua orang Islam di seluruh dunia dan pertama kali juga tahun ini, terdapat empat stesen televisyen akan bekerjasama untuk siaran langsung. Sebelum ini, hanya Astro Oasis yang menyiarkan siaran langsung tetapi tahun ini TV Alhijrah, Astro Oasis, RTM1 dan BernamaTV.

Konsep tahun ini iaitu Reboot Global Harmony bersesuaian dengan keadaan semasa. Sebenarnya sejak bulan November lagi kita sudah memulakan kempen Reboot Global Harmony.

Dengan apa yang berlaku sekarang, Covid-19 dan seluruh dunia berkurung, kita melihat ini sebenarnya percaturan ALLAH. Maknanya ini adalah betul-betul untuk reboot global harmony. Bukan sahaja harmoni dengan manusia tetapi manusia dengan alam. Kita tengok dalam masa dua bulan PKP ini, alam pun damai.

Tahun ini kita pilih Surah Ar-Rahman untuk ditadabbur dan dikongsikan di seluruh dunia. Siaran langsung tahun ini berbeza. Kita akan guna teknologi. Dulu kita pancar dari Malaysia, kali ini kita akan bergabung dengan Indonesia dan dipancarkan ke seluruh dunia.

Mesej yang kita bawa ialah Surah Ar-Rahman iaitu mesej perdamaian. Memang misi kita adalah mengQURANkan bangsa dan mengIKHLASkan ummah. Sebab itu kita buat World #QuranHour.

Berbanding dahulu dan sekarang, bagaimana sambutan orang ramai terhadap program Islamik ini?

Kita tengok kini, minat orang untuk memahami al-Quran semakin meningkat. Sebagai contoh, program Malaysia #QuranTime bersama TV Alhijrah secara live setiap hari sepanjang PKP ini, alhamdulillah, saya tengok viewers setiap hari yang menonton TV sahaja dekat 900,000 hingga sejuta orang.

Itu belum yang tengok secara online. Semalam (kelmarin) berita TV Alhijrah yang keluar online pun berjuta-juga (penonton). Lihat pada maklum balas, penonton datang dari seluruh dunia, Amerika Syarikat, Australia, Singapura.

Maknanya kesedaran orang memahami al-Quran itu sudah mula timbul. Sekarang program membaca al-Quran ada di mana-mana, cuma usaha yang cuba Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) buat ini ialah kita tekankan lebih kepada aspek pemahaman dan penghayatan.

Selama ini kita menitikberatkan membaca al-Quran tetapi apabila tidak memahami, ia dapat tidak diterjemahkan kepada akhlak dan karakter.

Pengasas WUIF, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff pada sidang akhbar di bangunan Kumpulan Karangkraf di sini semalam. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Pengasas WUIF, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff pada sidang akhbar di bangunan Kumpulan Karangkraf di sini semalam. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Jadi ini sebenarnya kesan yang kita lihat hasil program yang kita buat lima enam tahun dulu. Kita bersyukur kerana Malaysia jadi pencetus dan tahun ini Indonesia ingin bersama kita.

Memandangkan ini merupakan gerakan dari bawah, kebanyakan kerjasama kita peroleh itu adalah people to people.

Insya-ALLAH kali ini kita berharap lebih banyak penglibatan daripada pihak kerajaan. Contohnya, tahun ini kita dapat sokongan penuh daripada Menteri Agama (Senator Datuk Seri Dr Mohamad al-Bakri) dan Menteri Komunikasi dan Mutimedia (Datuk Saifuddin Abdullah) untuk membawa misi ini ke satu tahap lain.Tahun lepas kita dapat 1.46 bilion capaian media sosial sepanjang kempen. Dulu kita kempen awal dua tiga bulan dan kita boleh bergerak ke seluruh dunia.

Selama ini kita menitikberatkan membaca al-Quran tetapi apabila tidak memahami, ia dapat tidak diterjemahkan kepada akhlak dan karakter.

Sekarang disebabkan Covid-19, pergerakan terbatas, maka pasukan kita tidak boleh berhubung dengan pihak di luar negara. Dari segi capaian, kita mungkin tidak dapat macam tahun kepas. Tetapi tahun ini kita akan dapat sasarkan audiens kerana kita masih dalam peringkat PKP Bersyarat.

Sekarang ramai yang bekerja dari rumah. Live audience kita mungkin tidak seramai capaian tahun lalu tapi kali ini saya rasa live audience di Malaysia akan ramai.

Alhamdulillah, Menteri Agama sudah sahkan akan hadir dan membaca doa khusus untuk dunia. Sekurangnya-kurangnya sejuta orang yang mengikuti Malaysia #QuranTime di TV Alhijrah ketika ini akan ikut dan mempromosi program World #QuranHour

Mereka akan ikut membaca (al-Quran) di rumah masing-masing. Saya rasa sekurang-kurangnya lima juta orang di Malaysia akan boleh ikut sama dan kita berharap mesej-mesej al-Quran akan masuk ke hati mereka.

Selepas lima tahun penganjuran, apakah impak program ini kepada masyarakat?

Tujuan kita sekarang, kita nak masukkan al-Quran itu ke hati, jantung dan minda mereka. Dari segi kuantiti, kita tidak boleh kerana kita ada halangan pada tahun ini. Tetapi dari segi impak, saya rasa insya-ALLAH kita akan dapat jauh lebih banyak kerana objektif kita supaya nilai al-Quran itu masuk ke hati dan minda serta diterjemahkan ke akhlak.Kita sudah terkurung selama tujuh minggu. Saya rasa kita sudah ‘disekolahkan’ dan menghasilkan satu kumpulan ummah yang berbeza, yang ada al-Quran dalam sistemnya.

Sekarang melalui Malaysia #QuranTime, kita lancarkan kempen wakaf al-Quran untuk hospital sebanyak 80,000 naskhah setakat hari ini (semalam) dan 50,000 daripada jumlah itu sudah diedarkan kepada hospital, pusat kesihatan dan petugas barisan hadapan seperti polis dan sebagainya.

Masa rehat, mereka sudah mula membaca al-Quran. Jadi kita berharap pada 13 Mei nanti, al-Quran yang kita edarkan itu akan juga dibaca oleh seramai mungkin orang. Kita mahu cipta satu budaya baru. Apabila waktu rehat, mereka membaca al-Quran yang ada terjemahan dan mereka faham serta dijadikan sebagai kaedah mereka menguruskan diri.

Adakah ia memberi apa-apa kesan ke atas orang bukan Islam?

Saya tengok sendiri kadang-kadang masa program Malaysia #QuranTime dan Majlis Ayah, yang menonton itu ramai yang bukan Islam. Ini yang saya selalu sebut, Covid-19 dan PKP sebenarnya kerja Tuhan. Al-Quran diturunkan untuk semua. Solusi untuk semua, bukan untuk orang Islam sahaja. Selama ini mungkin kerana sibuk dan tidak menjadi keutamaan atau orang memandang remeh terhadap al-Quran.

Tetapi dengan PKP ini, saya rasa belum ada lagi usaha yang membuatkan orang melihat al-Quran secara terperinci dan dikaitkan dengan keadaan semasa.Ini akan membuka mata ramai dan menyebabkan orang Islam lebih faham al-Quran dan agama. Malah, orang bukan Islam sudah tidak lagi takut dengan Islam. Ini yang saya katakan kerja Tuhan.

Betullah al-Quran ini solusi untuk ummah, manusia sejagat, bukan untuk orang Islam sahaja. Dalam al-Quran dijelaskan, manusia diciptakan dalam berbagai bangsa untuk saling mengenal, bukan saling membenci. Inilah peluang kita betul-betul reboot global harmony.

Kita kena sampaikan al-Quran itu dalam mesej yang jelas supaya semua orang boleh faham termasuk bukan Islam. Kita jangan cuba hadkan al-Quran untuk kita sahaja, sebenarnya ia menawarkan solusi untuk semua orang. Kena sampaikan dan diterjemahkan dalam bahasa yang mudah difahami orang dan mesti ada interaksi dua hala.

Al-Quran diturunkan untuk semua, bukan untuk orang Islam semata-mata. Selama ini, kita rasa al-Quran terlalu eksklusif dan tidak boleh dipegang orang lain (bukan Islam). Kalau tidak pegang, tidak baca macam mana? Tetapi kita ada orang Jepun, jadi kena ada al-Quran terjemahan bahasa Jepun, orang Jerman kena ada al-Quran terjemahan bahasa Jerman, begitu juga bahasa mandarin.

"Kita kena sampaikan al-Quran itu dalam mesej yang jelas supaya semua orang boleh faham termasuk bukan Islam. Kita jangan cuba hadkan al-Quran untuk kita sahaja."

Kita kena gerakkan program World #QuranHour, kalau semua orang faham al-Quran sama ada orang Islam atau bukan Islam, orang bukan Islam tidak akan lagi takut kepada Islam. Itu juga bergantung kepada akhlak umat Islam tentang bagaimana untuk meyakinkan orang bukan Islam agar mendekati al-Quran. Ia akan menyebabkan orang rasa tertarik sebagaimana pada zaman sahabat Nabi Muhammad SAW di mana orang rasa tertarik untuk masuk Islam kerana akhlak para sahabat. Jadi kita hendak kembalikan dan itu reboot-nya.

Sejauh manakah World #QuranHour membantu usaha mengQURANkan bangsa?

Tanggungjawab mengQURANkan bangsa ini adalah tanggungjawab semua, maknanya pihak kerajaan, guru al-Quran atau sesiapa sahaja. Saya harap semua orang berfikir bahawa bukanlah satu beban untuk mereka membantu usaha mengQURANkan bangsa.

Cuma kita berharap semua pihak harus bekerjasama. Sebenarnya World #QuranHour enam, tujuh tahun lalu digerakkan oleh media. Pada masa itu, semua organisasi media bersatu. Media Prima, Karangkraf, Utusan, Bernama, Radio Televisyen Malaysia (RTM), semua bersatu menggerakkan program ini. Itu yang membolehkkan kita membawa program ini kepada satu tahap. Tetapi dua, tiga tahun lepas, disebabkan perubahan pengurusan di banyak organisasi media menyebabkan kerjasama tersebut tidak berapa lancar macam dahulu lagi.

Jadi kita harap dan menyedari ini sebenarnya bukan masalah kerajaan. Maknanya kalau media boleh bersatu, saya kira macam dahulu, insya-ALLAH kita boleh promosi program ini semula.

Pengasas WUIF, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub pada sidang akhbar di bangunan Kumpulan Karangkraf di sini semalam. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Pengasas WUIF, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub pada sidang akhbar di bangunan Kumpulan Karangkraf di sini semalam. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Sekurang-kurangnya Covid-19 ini menyebabkan kita kembali bersatu. Kalau kita bersatu, takkan hendak mengal-Qurankan bangsa pun peranan kerajaan. Jadi ini peranan kita, pemain media sebagai penggerak. Sekurang-kurangnya mengapa saya mengambil inisiatif menjadikan media sebagai platform menggerakkan program World #QuranHour kerana saya rasa itu tanggungjawab media yang mempunyai pengaruh tersendiri.

Kita kena bertanggungjawab dan boleh menjawab kepada ALLAH nanti, yang saya ada pengaruh dan saya sudah menggunakan pengaruh saya untuk membawa manusia ke jalan yang mana.

Susulan Covid-19, apakah terdapat normal baharu dalam membudayakan al-Quran sekarang?

Pada awal pelaksanaan program ini, yang ikuti program kita hanya golongan wanita dan ibu. Tapi sekarang kerana PKP, orang muda termasuk golongan ayah sudah mula ikut. Ayah ini adalah pemimpin untuk membentuk keluarganya. Cara membentuk keluarga yang betul adalah melalui wahyu, ilmu yang ada dalam al-Quran. Ayah itu sendiri kena belajar. Kempen ini untuk semua orang Islam terutama membaca, memahami, menghayati dan mengamalkan sebelum menyebarkan.

Bagi saya ini satu normal baharu. Jika kita faham al-Quran, dengan sendirinya kita solat menepati masa. Orang akan berzakat, berinfak dan bersedekah.

Apa yang paling penting, kita kena jadi orang yang bertanggungjawab. Sebelum pandemik ini, semua orang bercerita tentang hak, sedikit sangat bercerita pasal tanggungjawab. Sedangkan dalam al-Quran banyak menceritakan tentang tanggungjawab.

Sekarang ini normal baharu adalah tanggungjawab kita. Bila tengok tempat sesak, kita yang kena berundur. Tengok orang tidak beratur, kita yang beratur, bukan kita pun sama pergi redah.

Bagi saya ini satu normal baharu. Jika kita faham al-Quran, dengan sendirinya kita solat menepati masa. Orang akan berzakat, berinfak dan bersedekah.

Tanggungjawab kita untuk memastikan kita yang amalkan penjarakan sosial dan dengan sendirinya orang lain akan malu alah. Ini normal baharu yang berasaskan tanggungjawab.

Apakah ada perbezaan antara golongan profesional yang faham al-Quran dan yang sebaliknya?

Sebenarnya bukan aspek memahami terjemahan al-Quran yang mengubah sikap manusia, tetapi penghayatan al-Quran serta inisiatif menggunakan ilmunya dalam kerja seharian.

Ada sesetengah pengurus di seluruh dunia yang hafal al-Quran pun menipu juga. Yang penting bagaimana anda mengambil roh al-Quran untuk dijadikan sebagai sistem operasi kehidupan seharian. Itu akan jadi berbeza.

Ayah yang menghafal al-Quran dan pukul isteri pun ramai juga. Tetapi kalau menjadi ayah yang menghayati al-Quran, dia tidak belasah isteri dia. Jadi itu bezanya dari aspek bagaimana kita amalkan al-Quran. Jadi kempen kita adalah baca, faham dan amal.

Kerana al-Quran berada dalam dada mereka, sistem kerangka pemikiran mereka berteraskan al-Quran. Jadi kita akan tengok kerajaan akan jadi bersih, pengurusan syarikat akan jadi bersih, CEO akan jadi lebih bertanggungjawab, pekerja juga akan jadi lebih bertanggungjawab kerana mereka menjadikan tauhid sebagai perkara nombor satu.

Program World #QuranHour 2019 yang diadakan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Gombak pada tahun lalu.
Program World #QuranHour 2019 yang diadakan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Gombak pada tahun lalu.

Rezeki bertambah, produktiviti meningkat

SINAR HARIAN: Sejauh manakah al-Quran boleh menjadi solusi dalam meningkatkan kualiti dan produktiviti pada musim Covid-19 ini?

HUSSAMUDDIN: Saya rasa, pertama orang akan jadi lebih bertanggungjawab. Kalau orang yang faham, dia akan jadi lebih bertanggungjawab. Bila dia tahu tanggungjawab dirinya, dia akan bekerja lebih keras, akan belajar ilmu dengan lebih mendalam untuk dia menjadi lebih pandai. Bila sudah pandai, dia akan menjadi lebih kreatif.

Sebab itu ayat al-Quran pertama yang diturunkan adalah berkaitan membaca dalam Surah Al-Alaq iaitu Iqra' atau 'Bacalah', supaya dia belajar, menjadi lebih kompetitif dan dapat menguruskan masa kehidupan dengan lebih baik.

Dia kena hidup berkitarkan waktu solat. Contohnya, mereka kena siapkan kerja sebelum solat Zohor. Itu new normal yang sepatutnya berlaku. Saya yakin dan ALLAH sudah janjikan rezeki itu ada. Lepas solat Jumaat, keluarlah pergi cari rezeki. Kita kena yakin rezeki itu ada.

Tetapi pada masa ini, kita merasakan rezeki kita itu bergantung dengan cara bagaimana kita bodek bos kita. Itu yang ALLAH halang rezeki kita.

Maknanya kita tahu kita kerja kerana ALLAH dan sekarang kita kerja di sebuah syarikat, jadi apa objektif di sebuah syarikat? Jadi kita tidak boleh rasuah. Kita tidak boleh kerja curi masa. Dengan sendiri kalau semua orang fokus masa untuk bekerja, kita akan dapat rezeki lebih baik.

Dalam masa PKP, ramai orang dapat rezeki baharu. Bila dia duduk rumah, dia solat dengan lebih baik, hubungan dengan setiap ahli keluarga semakin baik, bila memasak untuk keluarga dan kemudiannya hasil lebihan masakan dijual secara dalam talian, dia akan mendapat jumlah rezeki lebih banyak.

Selain itu, budak penghantar makanan itu turut mendapat rezeki baharu. Jadi ini yang saya katakan ALLAH sedang reboot dunia.

Syarikat-syarikat besar sekarang memang susah. Tetapi Covid-19 memberi peluang orang kecil untuk bangkit dengan memberi mereka peluang-peluang baharu.

Cuma dia kena usahalah. Saya hendak beri contoh anak bongsu saya, dia tidak bekerja dengan Karangkraf. Dia seorang pakar dron, sekali dapat kontrak kerja, dia akan mengenakan caj perkhidmatan mencecah RM30,000.

Jadi bila menerima satu atau dua kontrak kerja sebulan, dia akan pergi melancong bersama isteri dan anaknya. Tetapi kerana PKP lapan minggu, apa yang dia buat? Dia membantu mempromosi masakan isterinya menerusi online dan akhirnya mampu beroleh pendapatan RM3,000 hingga RM4,000 seminggu.

Pengasas WUIF, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub pada sidang akhbar di bangunan Kumpulan Karangkraf di sini semalam. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Pengasas WUIF, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub pada sidang akhbar di bangunan Kumpulan Karangkraf di sini semalam. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Daripada jual item masakan isterinya. Jadi maknanya dengan sendirinya, dia tidak terfikir isterinya ada kepakaran itu dan dia ada kepakaran membantu mempromosi kempen produk isterinya.

Pada saat ini, syarikat yang besar-besar termasuk Karangkraf memang susah. Tapi bagi orang-orang kecil, mereka boleh kembali bangkit.

Itu sebab kita kena ada keyakinan. Rezeki memang ALLAH yang beri tetapi kita kena berusaha, berdoa dan belajar bersyukur. Kalau kita bersyukur banyak, ALLAH akan beri rezeki lebih kepada kita.

Tetapi mengapa kebanyakan syarikat di seluruh dunia bermasalah? Kerana kita ada masalah tauke tidak bersyukur, rezeki banyak ini tauke hendak lebih.

Pekerja dapat gaji banyak ini, tidak bersyukur dan asyik hendak mengeluh sahaja. Jadi kerja sudah tiada keikhlasan. Itu yang menyebabkan ALLAH tarik sekaligus nikmat rezeki di seluruh dunia.

Syarikat yang menderita selain syarikat menjual peralatan penjagaan kesihatan seperti topeng muka dan cecair basmi kuman memang banyak dan ranap di seluruh dunia.

Tetapi ALLAH beri peluang banyak kepada manusia untuk menjayakan aspek entrepreneurship. Jadi inilah masa untuk melahirkan usahawan-usahawan baharu.

Berapa rakyat rakyat Malaysia yang work from home? Berapa ramai yang tidak pernah jual ikan buat jualan secara 'delivery'? Jadi cara meraih rezeki ini banyak. Jadi saya rasa ini adalah design ALLAH untuk tukar ekosistem bumi ini.

Kalau tidak, sistem itu kapitalis. Sekarang kapitalis tidak boleh bersaing dengan peniaga kecil-kecilan. Tetapi syarat anda kena betul-betul ikut cara Islam. Maknanya rezeki ALLAH itu akan ada kalau kita yakin.