Cari dadah jumpa senapang

Azari (kanan) mendengar penerangan daripada Inspektor Zharif Hazwan Zahari pada sidang akhbar di IPD Rompin semalam. - Foto Bernama
Azari (kanan) mendengar penerangan daripada Inspektor Zharif Hazwan Zahari pada sidang akhbar di IPD Rompin semalam. - Foto Bernama
A
A
A

ROMPIN - Pemeriksaan bagi mencari dadah di sebuah rumah membawa kepada penemuan selaras senapang patah buatan sendiri yang dipercayai digunakan untuk berburu secara haram.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azari Miskon berkata, senapang itu ditemui di rumah yang terletak di Bukit Serok di sini pada jam 6.30 pagi Sabtu lalu dipercayai milik seorang lelaki orang asli berusia 27 tahun.

"Kita membuat serbuan di rumah itu untuk mencari jika terdapat dadah di situ selepas rakan serumah orang asli itu ditahan kerana memiliki tiga bungkus dadah jenis heroin dan syabu dalam kereta pada pemeriksaan berhampiran kawasan perumahan tersebut.

"Lelaki orang asli yang bekerja sebagai buruh itu mengaku tuan rumah dan berdasarkan siasatan awal dia dipercayai membuat sendiri senapang patah itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin di sini hari ini.

Azari berkata, suspek yang positif amphetamine kini direman bermula Sabtu hingga Jumaat ini untuk membantu siasatan.

Katanya, rakan serumahnya yang berusia 34 tahun dan tidak bekerja juga direman bagi tempoh yang sama untuk membantu siasatan.

Dalam perkembangan lain, Azari berkata, polis juga menahan empat individu termasuk sepasang suami isteri kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar daerah ini dalam tempoh tiga hari bermula 1 Mei lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan: