Sekatan jalan raya kekal di 'laluan tikus'

Mat Kassim ketika sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Melaka di Bukit Beruang di sini hari ini.
Mat Kassim ketika sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Melaka di Bukit Beruang di sini hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Polis Melaka masih mengekalkan sekatan jalan raya di beberapa lokasi yang menjadi 'laluan tikus' bagi pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk keluar dari negara ini.

Ketua Polis, Datuk Mat Kassim Karim berkata, daripada 22 sekatan jalan raya yang diwujudkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu, sehingga kini terdapat 15 sekatan jalan raya yang masih kekal membabitkan sempadan berhampiran laluan laut seperti jalan pesisir pantai Klebang di Melaka Tengah, Umbai di Jasin dan Masjid Tanah di Alor Gajah.

Menurutnya, pengurangan sebanyak kira-kira 30 peratus sekatan jalan raya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula sejak Isnin lalu, dapat memberi fokus kepada pemantauan dan risikan di kawasan yang dikenal pasti menjadi lokasi tekong laut mahupun tekong darat untuk membawa keluar PATI seperti di Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah.

Katanya, dalam masa yang sama dapat memantau kenderaan yang mencurigakan yang akan digunakan dalam modus operandi membawa PATI sebelum mereka menggunakan laluan laut untuk keluar disebabkan permintaan tinggi memandangkan musim perayaan semakin hampir.

"Suasana di Melaka berbeza dengan negeri lain, kita masih kekalkan beberapa sekatan jalan raya kerana Melaka merupakan negeri bersempadan laut.

"Setakat ini melalui risikan terdapat maklumat PATI yang mahu keluar melalui jalan laut dan kita perlu mengawasi 'laluan tikus' seperti di Kuala Sungai Baru," katanya ketika sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini hari ini.

Mat Kassim berkata, selain penugasan anggota di sekatan jalan raya termasuk agensi lain, polis Melaka juga mengambil pendekatan memberi nasihat dan peringatan kepada orang awam supaya mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kita masih mengekalkan kekuatan seramai 2,518 anggota termasuk 749 bantuan luar seperti Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan lain-lain lagi untuk membuat pemantauan dan nasihat kepada masyarakat agar mementingkan penjagaan kawalan kendiri agar wabak koronavirus (Covid-19) dapat dicegah.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga berharap kelonggaran yang diberikan kerajaan sepanjang PKPB ini tidak disalah guna untuk ke tempat yang tidak munasabah seperti melancong," katanya.