Sekatan jalan raya di Kedah dikurangkan

Zainuddin (tengah) pada sidang media selepas kunjung hormat dan Program Penyerahan Wakaf Al-Quran di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah di sini tadi.
Zainuddin (tengah) pada sidang media selepas kunjung hormat dan Program Penyerahan Wakaf Al-Quran di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah di sini tadi.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis Kedah mengurangkan sekatan jalan raya susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, sebanyak 47 sekatan jalan raya dilakukan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

"Jadi, lebih banyak kenderaan akan dilihat berada di atas jalan raya selepas ini," katanya pada sidang akhbar selepas kunjung hormat dan Program Penyerahan Wakaf Al-Quran di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini tadi.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Kedah kuat kuasa PKPB serta-merta

Turut hadir, Sekretariat Program Wakaf al Quran (WUIF) merangkap Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Kumpulan Media Karangkraf/Sinar Harian, Hashim Anang, Penyelaras Rumah Ngaji Kedah, Saloni Mustaffa dan wakil penyelaras Rumah Ngaji Perlis, Harmi Puteh.

Menurutnya, polis turut menilai semula keberkesanan sekatan jalan raya dan mengambil kira semangat PKP dengan membuat tapisan terhadap kenderaan yang memasuki Kedah.

Justeru katanya, sekatan jalan raya akan dilaksanakan di pintu masuk utama ke Kedah sama ada jalan Persekutuan, jalan negeri atau lebuh raya yang bersempadan dengan negeri lain.

Zainuddin memberitahu, rakyat Kedah bebas bergerak dalam negeri dan antara daerah termasuk Pulau Langkawi dengan mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, sebanyak 80 pasukan pemantau membabitkan polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang akan melaksanakan pemantauan ke atas kepatuhan SOP ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama katanya, beliau meminta rakyat Kedah menghormati keputusan dibuat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk melaksanakan PKPB berkenaan seperti negeri lain.