Dua penjual buah berdepan hukuman mati

Kedua-dua penjual buah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine pada April lalu.
Kedua-dua penjual buah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine pada April lalu.
A
A
A

MARANG - Dua penjual buah berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine pada April lalu.

Tertuduh, Mohd Hishammuddin Mat Asid, 35, dan Mohamad Amiro Azman, 30, dituduh mengedar dadah seberat 3457.05 gram (berat kasar) di tepi jalan Lebuhraya LPT 2 Jalan Plaza Tol Kuala Telemong Bukit Payong, Telemong, Hulu Terengganu pada jam 10 malam, 25 April lalu.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk kesalahan mengedar dadah berbahaya dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) Akta yang sama dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dijatuhi hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang 15 sebatan.

Sementara itu, Mohd Hishammuddin turut berdepan satu lagi pertuduhan sama iaitu mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1920.91 gram (berat kasar) di dalam sebuah lori di hadapan Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu, jam 12.10 tengah malam, pada 26 April lalu.

Bagaimanapun, mereka hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dan tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Pendakwaan kesemua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Lishantini di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah seterusnya menetapkan 5 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen serta lantikan peguam selain tidak menawarkan sebarang jaminan.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini media ada melaporkan Polis Terengganu menumpaskan sindiket pengedaran dadah untuk pasaran di Terengganu dan Pahang dengan penangkapan dua lelaki dan merampas 50,000 biji pil kuda bernilai RM750,000.

Kedua-dua mereka ditangkap sepasukan polis yang sedang membuat rondaan Ops Covid-19 berhampiran Plaza Tol Telemong selepas terserempak dengan sebuah lori yang berhenti di tepi jalan dan berada dalam keadaan mencurigakan.

Hasil pemeriksaan menemukan dadah yang disimpan dalam penapis udara sebelum mereka mengaku mengambil upah membawa dadah itu dengan bayaran antara RM1,000 hingga RM8,000 untuk setiap kali perjalanan.

Mereka sebenarnya bekerja sebagai penjual buah dan mengambil bekalan buah di Johor, namun pada masa sama, mengambil kesempatan dengan mengambil upah membawa dadah.