Rindu Masjid Al-Aqsa

Mohd Azmi melihat gambar kenangan ketika beliau berkunjung ke Masjid Al-Aqsa yang memberi pengalaman sangat berharga buatnya.
Mohd Azmi melihat gambar kenangan ketika beliau berkunjung ke Masjid Al-Aqsa yang memberi pengalaman sangat berharga buatnya.
A
A
A

PENGALAMAN berdepan tentera Israel ketika berada di dalam Masjid Al-Aqsa amat diingati setiap kali tibanya Ramadan.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, situasi genting itu menjadi saksi perjuangan penduduk Palestin mempertahankan negara daripada jajahan rejim Israel.

Menurutnya, setiap kali bulan Ramadan, dia pasti merindui saat-saat menjejakkan kaki ke Masjid Al-Aqsa yang pernah dikunjungi pada 2016 dan 2017.

“Kami difahamkan setiap kali Jumaat, penduduk Palestin akan mengadakan demonstrasi mempertahankan Palestin dan Al-Aqsa.

“Pernah saya berdepan situasi cemas apabila melihat tentera Israel mula memasuki kawasan masjid dan menuju ke arah pemuda yang berdemonstrasi dengan laungan takbir.

“Tiba-tiba terdengar bunyi senapang, sekali gus menyebabkan jemaah tunduk dan meniarap. Saya bersembunyi di satu sudut dan ternampak ramai bertempiaran menyelamatkan diri apabila dikejar polis dan tentera,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata, situasi tegang itu berlanjutan kira-kira 30 minit sehingga ada mangsa yang cedera dan lebih mencemaskan apabila beliau terpisah dengan anggota misi kemanusiaan yang lain.

“Dengan mata dan kepala sendiri, kami melihat asakan tentera Israel yang menghalang rakyat Palestin memasuki masjid sebagaimana kita lihat di kaca televisyen, surat khabar dan media sosial.

Artikel Berkaitan:

Qubah As-Sakhrah di dalam Masjid Al-Aqsa boleh dilihat melalui kilauan emas kubahnya yang memancar dari pelbagai sudut dalam radius empat hingga lima kilometer menjadi kenangan manis yang tak mungkin dilupakan oleh Mohd Azmi.
Qubah As-Sakhrah di dalam Masjid Al-Aqsa boleh dilihat melalui kilauan emas kubahnya yang memancar dari pelbagai sudut dalam radius empat hingga lima kilometer menjadi kenangan manis yang tak mungkin dilupakan oleh Mohd Azmi.

“Ia meninggalkan kesan mendalam walaupun seketika berada di sana, apatah lagi mereka yang berdepan situasi ketegangan ini sepanjang masa, pasti mereka telah banyak berkorban untuk memperjuangkan Islam,” katanya.

Dalam situasi berbeza, katanya, Masjid Al-Aqsa yang menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia telah menjadi lokasi tumpuan ramai sehingga kawalan ketat dilaksanakan.

Beliau dan isteri juga pernah dihimpit tentera Israel ketika menziarahi bahagian ruang di dalam masjid.

“Alhamdulillah, kami dilepaskan dan diarahkan beredar ke tempat lain kerana sasaran mereka hanyalah rakyat Palestin,” jelasnya.

Sementara itu, katanya, sejak penularan wabak koronavirus (Covid-19), perancangan berkunjung ke negara Islam lain terutama Masjid Al-Aqsa dan menghantar bantuan misi kemanusiaan sepanjang Ramadan telah dihentikan.

“Perancangan projek kebajikan khususnya pada Ramadan telah diatur sejak beberapa bulan sebelumnya bagi memastikan ia dilaksanakan dengan lancar, namun kali ini tidak dapat dilaksanakan.

“Kami barisan sukarelawan tidak dapat menghantar bantuan kepada penempatan kem pelarian sempena Ramadan dan Syawal seperti yang selalu kami lakukan.

“Jadual kuliah di surau dan masjid yang sering diundang setiap hari pada Ramadan juga tidak dapat saya penuhi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata beliau.