Tangan ghaib siapakah ini?

A
A
A

SEWAKTU artikel ini ditulis, masih terdapat netizen yang melepas geram kepada syarikat tekstil terkenal, Jakel. Komen-komen pedas masih terdapat di laman Facebooknya.

Ia berpunca apabila salah seorang ahli keluarga Jakel, Muzaffar Jakel tersilap memuatkan jawapan yang dianggap memperkecilkan bangsa Melayu.

Bila dikritik, beliau segera memohon maaf pada hari yang sama. Namun, tiba-tiba muncul seseorang bernama Nor Lizah yang memberi komen terlalu pedas yang ditujukan kepada orang Melayu.

Beliau memberi komen di laman Facebook Muzaffar Jakel. Apa lagi, netizen yang membaca status itu naik berang mahu memboikot kedai tekstil tersebut.

Datuk Mohamed Faroz, Pengarah Urusan Jakel, terpaksa muncul dalam sebuah video untuk memohon maaf atas kesilapan adiknya, Muzaffar. Beliau juga menyatakan tidak kenal siapakah Nor Lizah yang memberi komen menyinggung perasaan orang Melayu.

Tuan punya akaun Nor Lizah juga telah membuat aduan polis kerana mendakwa akaunnya telah digodam.

Banyak pihak tampil menyabarkan netizen dan meminta mereka memaafkan kesilapan yang telah berlaku. Aktivis sosial, Yusof Azmi, PU Azman dan Datuk Nadzim Johan daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia telah merayu agar netizen Melayu bertenang.

Namun, ramai netizen Melayu yang masih marah dan mahu terus memboikot. Soalnya, siapakah yang telah mengambil kesempatan menggunakan profil Nor Lizah untuk mengeluarkan kata-kata yang begitu menghina itu?

Artikel Berkaitan:

Dua minggu sebelum itu, seorang pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew dipanggil polis untuk beri keterangan susulan aduan orang ramai.

Pendakwah yang popular kerana menyantuni golongan melarat telah menimbulkan rasa dengki pihak yang tidak suka melihat beliau berbuat baik. Soalnya, siapakah yang membuat laporan itu?

Pada April lalu, pihak keselamatan Malaysia telah mengusir sebuah bot membawa pendatang Rohingya masuk ke perairan Malaysia.

Ekoran itu beberapa NGO termasuk Amnesty International yang memperjuangkan hak kemanusiaan telah membidas tindakan Malaysia tetapi rata-rata rakyat Malaysia menyokong penuh tindakan kerajaan.

Membara

Pada masa yang sama, seorang pemimpin Rohingya di Malaysia, Zafar Ahmad telah merayu agar kerajaan Malaysia tidak berbuat demikian atas dasar kemanusiaan. Rayuan beliau itu telah dipandang sinis oleh netizen.

Tiba-tiba entah dari mana, muncul sehelai kertas berbentuk memorandum yang kononnya daripada Zafar Ahmad mendesak kerajaan Malaysia memberi hak sama rata kepada pendatang Rohingya di Malaysia.

Memorandum itu muncul bersama sebuah video demonstrasi etnik Rohingya di depan kedutaan Myanmar di Jalan Ampang pada tahun 2017.

Kemarahan netizen Malaysia yang membara mula bernyala dan Zafar Ahmad menerima maki-hamun di media sosial. Soalnya, siapakah yang mengadun imej Zafar Ahmad bersama memorandum yang diubah suai dengan video demonstrasi itu?

Tidak sampai sebulan, isu Jakel, Ustaz Ebit Lew dan pendatang Rohingya telah menjadi isu tular yang memanaskan laman sosial. Soalnya, tangan-tangan ghaib siapakah yang melakukannya? Apakah ia buatan mereka secara suka-suka untuk troll dan prank para netizen?

Namun, apabila diteliti, tidak mungkinkah tangan-tangan ghaib ini dibuat dengan agenda tersembunyi orang Melayu dan umat Islam terus berpecah dan terbelah? Api yang bernyala sukar dipadam.

Barangkali selepas pihak pemerintah selesai membanteras berita-berita palsu mengenai Covid-19, mereka wajib tangani dan tangkap pencipta berita-berita palsu yang sebegini.

Dalam pada itu, nampaknya masih ramai lagi orang Melayu yang terlalu sayangkan bangsa hingga mengetepikan semangat persaudaraan Islam. Bangsa perlu dipeluk tetapi agama pula perlu dijunjung. Walaupun cinta itu buta tetapi janganlah hingga membuta tuli.