KKM rangka semula tenaga kerja, fasiliti kesihatan

Setelah bekerja tanpa henti sejak lima bulan lalu pengorbanan petugas barisan hadapan kini sudah menampakkan keputusan positif. - Foto Bernama
Setelah bekerja tanpa henti sejak lima bulan lalu pengorbanan petugas barisan hadapan kini sudah menampakkan keputusan positif. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merancang untuk merangka semula tenaga kerja, fasiliti hospital, makmal dan kesihatan awam setelah kes penularan wabak koronavirus (Covid-19) semakin berkurangan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setelah bekerja tanpa henti sejak lima bulan lalu pengorbanan petugas barisan hadapan kini sudah menampakkan keputusan positif.

“Sekarang ini kita lihat kepenggunaan wad ICU (unit rawatan rapi) dan juga wad Covid-19 semakin berkurangan, jadi mungkin kita akan menggunakan masa seminggu dua untuk kita memberi ‘time off’ kepada warga kerja Kementerian Kesihatan secara bergilir-gilir.

“Selain itu kita juga akan memberi kaunseling kepada mereka agar dapat lebih bersedia untuk berdepan dengan kemungkinan berlaku peningkatan kes. Jadi kita perlu bersedia untuk yang terburuk tetapi mengharapkan yang terbaik,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham mengakui ia adalah satu dugaan dan cabaran kepada semua petugas di barisan hadapan termasuk kesemua warga kerja KKM.

Katanya, petugas barisan hadapan merupakan benteng pertahanan terakhir negara dalam mengelakkan daripada bencana besar yang melibatkan kematian serta pertambahan kes.

“Jadi sekarang ini kita akan lihat balik dalam tempoh seminggu dua ini untuk kita mengadakan perancangan yang baharu iaitu merangka semula tenaga kerja, fasiliti di hospital, makmal dan juga kesihatan awam.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk ucapkan terima kasih kepada semua barisan hadapan bukan sahaja warga KKM, tetapi juga kepada PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), imigresen, badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya yang telah banyak bekerja keras untuk kita memastikan hasil pencapaian kita pada hari ini,” katanya.

Artikel Berkaitan: