Pembelaan, pendakwaan serah hujahan bertulis hampir 100 muka surat

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan dalam kes perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan syarikat SRC International Sdn Bhd telah menyerahkan hujahan bertulis hampir seratus muka surat kepada Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Izzat Fauzan berkata, peguam utama Najib iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah telah menyediakan 643 muka surat hujahan bertulis manakala pendakwaan mengemukakan 306 muka surat.

"Kedua-dua hujahan telah diserahkan kepada mahkamah hari ini. Kami turut bertukar-tukar hujahan menerusi e-mel. 19 Mei telah ditetapkan untuk kedua-dua pihak menjawab hujahan bertulis itu," katanya ketika dihubungi Bernama.

ARTIKEL BERKAITAN: Saya belanja berjuta-juta, tapi saya tak tahu ia wang SRC: Najib

Hujahan lisan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah ditetapkan selama tiga hari bermula 1 Jun.

Pada 11 Mac, pembelaan telah menutup kesnya selepas memanggil 19 saksi di peringkat bela diri yang berlangsung selama 33 hari sejak 3 Disember tahun lepas.

Pendakwaan sebelum itu telah memanggil 57 saksi untuk memberi keterangan.

Pada 11 November tahun lepas, Najib yang juga bekas Menteri Kewangan telah diperintah membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta yang terdiri daripada tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa. - Bernama

Artikel Berkaitan: