Negara rekod jumlah kes baharu Covid-19 terendah hari ini

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Sebanyak 30 kes baharu positif Covid-19 direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini sekali gus menjadikan angka positif harian terendah sejak gelombang kedua pandemik itu melanda negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua kes baharu tersebut melibatkan penularan tempatan.

"Sebanyak 21 kes telah dikesan dari kluster dan lokaliti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)," katanya.

Menurutnya, dengan penambahan tersebut, jumlah kumulatif positif Covid-19 adalah 6,383 kes.

"Daripada jumlah itu, hanya 1,710 pesakit masih dirawat di hospital dan 24 daripada dirawat di unit rawatan rapi (ICU) serta lapan memerlukan bantuan pernafasan," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata, seramai 83 pesakit telah telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 4,567 kes bersamaan 71.55 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Bagaimanapun Dr Noor Hisham berkata, terdapat satu kematian dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat CPRC Kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

"Kes kematian ke-106 merupakan kes positif ke-830 melibatkan lelaki berusia 47 tahun.

"Beliau dimasukkan ke hospital swasta 15 Mac dan dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh keesokan harinya selepas disahkan positif.

"Pesakit disahkan meninggal dunia jam 2.10 pagi tadi," katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai 30 kes baharu, beliau berkata, sebanyak 20 kes dikesan di Pusat Bandar Utara dan Pasar Borong Kuala Lumpur, dua di Pasar Chow Kit dan satu Selangor Mansion.

"Selain itu, lima kes dikesan Selangor dan dua kes di Sarawak," katanya.

Lain-lain negeri dan wilayah tidak merekodkan sebarang kes positif baharu.