Lelaki maut motosikal dirempuh kereta

Keadaan motosikal mangsa yang remuk ketika dilokasi (Foto Ihsan : IPD Hulu Terengganu)
Keadaan motosikal mangsa yang remuk ketika dilokasi (Foto Ihsan : IPD Hulu Terengganu)
A
A
A
HULU TERENGGANU - Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Kilometer 43, Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi di Kampung Pela, Kuala Berang di sini semalam.

Dalam kejadian jam 5.15 petang, Mohd Nasri Salleh, 52, yang bekerja sebagai buruh ladang sawit meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika pemandu kereta jenis Perodua Kancil bersama anak lelakinya dalam perjalanan dari arah Ajil menuju ke rumah mereka di Kampung Tasik Nisan, Tok Dor. 

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal jenis Honda C70 ditunggang mangsa dikatakan keluar secara tiba-tiba dari arah sebuah kedai yang terletak di tepi jalan menghala ke arah Bukit Banding.

"Mangsa dipercayai mahu mengisi minyak di sebuah stesen minyak yang terletak berhampiran lokasi kejadian.

"Keadaan itu menyebabkan lelaki yang memandu kereta Perodua Kancil terkejut namun dia sempat menekan brek keretanya.

"Bagaimanapun, keretanya melungsur memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar motosikal ditunggang mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Mohd Adli berkata, akibat rempuhan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat.

Katanya, pemandu dan penumpang Perodua Kancil masing-masing berusia 59 tahun dan 28 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Artikel Berkaitan:


"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan," katanya.