Bapa tiri, bapa saudara ditahan rogol, liwat kanak-kanak 8 tahun

DATUK SHAFIEN MAMAT
Ketua Polis Kelantan
DATUK SHAFIEN MAMAT Ketua Polis Kelantan
A
A
A
PASIR PUTEH - Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dipercayai dirogol dan diliwat oleh bapa tiri dan bapa saudaranya di sebuah rumah di sini pada Selasa lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada Selasa lalu.

“Laporan dibuat oleh ibu mangsa yang berusia 34 tahun berkenaan kejadian terhadap anak perempuannya itu yang dipercayai dirogol dan diliwat oleh bapa tiri serta bapa saudara mangsa.

“Berdasarkan keterangan awal, selepas kejadian itu, ibu mangsa membawa anaknya itu melarikan diri dari rumah dan meminta bantuan dengan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menerusi laman Facebook,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat tersebut, pada jam 3.35 pagi Sabtu lalu, polis menahan dua lelaki iaitu bapa tiri mangsa yang berusia 46 tahun dan bapa saudaranya yang berusia 39 tahun.

“Hasil ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula Sabtu lalu sehingga Jumaat ini,” katanya.

Tambah beliau, mangsa ditempatkan di bawah pengawasan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
Artikel Berkaitan:


“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” katanya.

End