ATM berkawal di Chow Kit, Taman Wilayah Selayang

Gambar dikongsikan salah seorang penduduk Taman Wilayah hari ini.
Gambar dikongsikan salah seorang penduduk Taman Wilayah hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mula memasang kawat duri sejak malam tadi di Jalan Raja Bot berhampiran Pasar Chow Kit selain beberapa anggotanya turut dilihat di Taman Wilayah serta Taman Desa Bakti, Selayang.

Beberapa gambar dan video juga tular sejak awal pagi ini yang kemungkinan kawasan itu dalam persiapan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Bagaimanapun, belum ada sebarang pengesahan dibuat oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob setakat kini.

Seorang penduduk yang ditemui di Taman Wilayah memaklumkan penduduk di kawasan Flat Sutera, Desa Bakti diminta memberikan kerjasama bagi menjalani saringan koronavirus (Covid-19) pagi ini.

Unit bergerak Jabatan Penerangan dilihat membuat pengumuman penutupan Taman Wilayah dan Flat Sutera Desa Bakti itu hanya sementara dan bukan pelaksanaan PKPD.

Mereka juga memohon penduduk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk menjalankan saringan Covid-19 bermula jam 10 pagi hingga 2 petang.

"Penduduk tempatan bebas keluar masuk ke kawasan taman dengan menunjukkan kad pengenalan kepada pihak berkuasa di pintu akses di persimpangan 5/2B.

"Semua kedai, restoran masih beroperasi seperti biasa," kata wakil Jabatan Penerangan melalui pembesar suara pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Ismail Sabri berkata, sebanyak enam lokasi PKPD telah ditamatkan sepenuhnya sejak Ahad lalu iaitu Menara City One, Malayan Mansion, Selangor Mansion, kawasan sekitar Jalan Masjid India, Tahfiz An-Nabawiyyah dan sebuah rumah di Batu 23, Kampung Sungai Lui, Hulu Langat.

Bagaimanapun katanya, bagi PKPD Pusat Bandar Utara bagi Parcel C, D, E1, E2, E3 dan F akan dilanjutkan sehingga 12 Mei ini atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).